
PKNS Masters Selangor tawar hadiah bernilai lebih RM824,000
PETALING JAYA – Kejohanan Golf Remaja Antarabangsa Selangor 2024 dan Perbadanan Kemajuan negeri Selangor (PKNS) Selangor Masters ’24 bakal diadakan pada bulan Jun ini di Kelab Golf Seri Selangor, di sini.
Kedua-dua acara itu dimulakan dengan Kejohanan Golf Remaja Antarabangsa Selangor pada 13 hingga 15 Jun dan diikuti PKNS Selangor Masters pada minggu berikutnya iaitu 19 hingga 22 Jun.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya memberikan platform kepada bakat muda untuk menguji diri mereka dengan menentang pemain junior terbaik dari pelbagai negara melalui kejohanan golf remaja itu.
“PKNS Selangor Masters adalah laluan untuk profesional muda kami yang bercita-cita untuk meningkatkan kerjaya permainan mereka.
“Mudah-mudahan, kita akan melihat beberapa rakyat Malaysia dalam kalangan 10 pemain terbaik untuk Order of Merit Jelajah Pembangunan Asia (ADT) pada hujung musim ini, yang akan memperoleh kad Jelajah Asia mereka untuk 2025,” katanya dalam sidang media bagi kedua-dua acara tersebut, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Kejohanan Golf Remaja Antarabangsa Selangor 2024 akan menampilkan bakat muda berusia 12 hingga 18 tahun dalam acara individu dan berpasukan yang terbahagi kepada kategori lelaki dan perempuan secara berasingan.
Kejohanan tersebut turut dijangka menampilkan seramai 100 pemain dari negara lain termasuk Korea Selatan, China, India, Filipina, Thailand, Indonesia, Singapura, Australia, Bangladesh, Cina Taipei dan Emirate Arab Bersatu.
Sehubungan itu, wakil Malaysia akan dipikul oleh pemain dari skuad pembangunan remaja kebangsaan Persatuan Golf Malaysia (MGA), pasukan Sukan Malaysia Selangor, University Utara Malaysia International Secondary School Melaka (UUMISM), SportExcel dan Akademi Golf PKNS.
“Kami amat berbesar hati melihat bagaimana Kejohanan Golf Remaja Antarabangsa Selangor telah berkembang pesat dalam tempoh yang singkat.
“Kejohanan itu merupakan komponen penting dalam usaha kami untuk dan membangunkan golf di peringkat akar umbi di negeri ini.
“Pemain muda negara akan mendapat manfaat daripada bersaing dengan krem golf junior dari rantau Asia Pasifik,” kata Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim.
Selain itu, pemenang individu lelaki akan dijemput menyertai PKNS Selangor Masters ’24 iaitu merupakan acara profesional yang mendapat persetujuan antara ADT dan Jelajah Toyota domestik.
PKNS Selangor Masters kali ini menawarkan hadiah sebanyak RM824,192.02 (USD175,000) yang mempunyai pengaruh kukuh pada Order of Merit ADT, di mana 10 pemain terbaik pada akhir musim akan memperolehi kad Jelajah Asia untuk 2025.
Sementara itu, kejohanan itu dianjurkan oleh UUMISM dengan kerjasama MGA dan PKNS Golf Management Services yang bertindak sebagai penganjur kejohanan.
Selain itu, salah satu penaja utama bagi kejohanan itu merupakan pemaju hartanah terkenal Gamuda Land.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |