
PN gesa kerajaan tangguh perluasan SST, kenaikan tarif elektrik, subsidi bersasar
KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) menggesa kerajaan supaya menangguhkan pelaksanaan serentak tiga dasar utama yang dijadual bermula pada separuh kedua tahun ini.
Ketua Penerangan PN, Datuk Dr Radzi Jidin dalam satu kenyataan hari ini berkata, perluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), kenaikan tarif asas elektrik dan pelaksanaan subsidi bersasar untuk petrol RON95 itu akan memberi tekanan besar kepada rakyat dan peniaga.
Katanya, pelaksanaan itu juga bakal menambah beban ketika negara masih bergelut dengan kesan kenaikan kos sara hidup akibat dasar-dasar yang dilaksanakan pada 2024.
Menurutnya, kerajaan telah menaikkan kadar SST daripada enam kepada lapan peratus dan memperluas skopnya pada 1 Mac 2024 termasuk melibatkan sektor logistik.
Manakala harga diesel pula telah naik sebanyak 56 peratus pada 10 Jun 2024, menyebabkan lonjakan kos pengeluaran dan operasi perniagaan.
“Kesan daripada langkah-langkah ini masih lagi dirasai rakyat dan kini kerajaan bercadang untuk melaksanakan lagi tiga dasar baharu yang akan terus menekan ekonomi isi rumah serta sektor perniagaan,” katanya.
Menurut Dr Radzi, perluasan skop SST yang dijadual bermula 1 Julai ini membabitkan peningkatan ketara senarai barangan dikenakan cukai daripada 62 muka surat kepada 222 muka surat manakala senarai barangan yang dikecualikan cukai pula dikurangkan daripada 282 muka surat kepada hanya 103 muka surat.
Katanya, dakwaan kerajaan bahawa perluasan itu hanya melibatkan barangan “premium” seperti ikan salmon dan avokado adalah mengelirukan kerana senarai barangan yang dikenakan cukai sebenarnya jauh lebih luas.
“Ini menunjukkan kerajaan masih tidak mempunyai kerangka cukai yang holistik dan jelas. Penangguhan pelaksanaan daripada 1 Mei kepada 1 Julai serta rungutan industri membuktikan perkara itu,” katanya lagi.
Dr Radzi turut menyifatkan pelaksanaan cukai ke atas perkhidmatan baharu seperti sewaan, pembinaan, kewangan dan pendidikan sebagai satu langkah yang terburu-buru dan tidak melalui proses libat urus menyeluruh bersama industri berkaitan.
Mengulas mengenai kenaikan tarif asas elektrik yang akan berkuat kuasa 1 Julai ini, Dr Radzi berkata, walaupun kerajaan memberi jaminan bahawa 85 peratus pengguna domestik tidak terkesan, kenaikan kos tenaga akan tetap memberi impak besar kepada sektor perniagaan.
“Sudah tentu peniaga akan menyalurkan kenaikan kos ini kepada harga barang dan perkhidmatan dan akhirnya pengguna juga yang akan terbeban,” katanya.
Menyentuh pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95, beliau berkata, kerajaan masih belum menjelaskan definisi kumpulan Top 15 (T15) yang akan dikenakan harga tanpa subsidi walaupun pelaksanaan dijadual pertengahan tahun ini.
“Tanpa ketelusan dalam pelaksanaan dan ketiadaan kerangka perlindungan sosial yang sistematik, langkah ini boleh menjejaskan lebih ramai rakyat, bukan hanya kumpulan T15,” katanya.
Justeru, Dr Radzi menggesa kerajaan agar membatalkan perluasan skop SST, menangguhkan kenaikan tarif elektrik serta menangguhkan pelaksanaan subsidi bersasar sehingga satu kerangka percukaian dan jaringan keselamatan sosial yang jelas, holistik dan teratur diwujudkan.
“Kerajaan perlu menjadi lebih prihatin, bukan sekadar mengambil jalan mudah untuk menambah hasil negara dengan mengenakan beban kepada rakyat,” katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |