
PMX gesa gencatan senjata di Myanmar dilanjutkan, akhiri perang
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan gesaan agar pertempuran di Myanmar dihentikan segera dan gencatan senjata dilanjutkan bagi membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan kepada rakyat negara itu.
Anwar berkata demikian sebagai rumusan daripada pertemuan bersama Jeneral Kanan Min Aung Hlaing sewaktu lawatan kerja bersama delegasi Malaysia ke Thailand, semalam
“Saya turut menyatakan keperluan memastikan bantuan kemanusiaan sampai kepada semua komuniti yang terjejas, tanpa mengira penjajaran politik mahupun geografi dan beliau menyatakan komitmen terhadap perkara ini,” katanya melalui satu hantaran di Facebook hari ini.
Selain itu, beliau turut memaklumkan beberapa pencapaian utama hasil lawatan kerja singkat ke Thailand, termasuk memeterai perjanjian penting bagi pembinaan Jambatan Persahabatan Rantau Panjang–Sungai Golok.
Menurut Anwar, perjanjian yang telah lama dinanti-nantikan itu akan memperkukuh keterhubungan rentas sempadan dan menyuntik nafas baharu kepada ekonomi tempatan di kedua-dua sempadan.
“Ini adalah antara pencapaian paling bermakna hasil pertemuan dua hala saya dengan Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra semalam,” katanya dalam sidang media di Bangkok, hari ini.
Anwar turut mengadakan pertemuan bersama Kumpulan Penasihat Tidak Rasmi kepada Pengerusi ASEAN yang diketuai oleh Dr. Thaksin Shinawatra, serta satu pertemuan maya bersama U Mahn Win Khaing Than dari Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) Myanmar.
Beliau menegaskan bahawa keamanan jangka panjang di Myanmar perlu digerakkan melalui kerangka ASEAN, tanpa campur tangan pihak luar.
“Saya akan membentangkan hasil pertemuan ini kepada rakan-rakan pemimpin ASEAN untuk tindakan selanjutnya.
“Saya percaya usaha mewujudkan keamanan berpanjangan di Myanmar akan lebih berkesan jika digerakkan di bawah kerangka ASEAN tanpa campur tangan pihak ketiga,” ujarnya.
Meskipun singkat, namun Anwar menyifatkan lawatan kerja tersebut telah membuahkan hasil yang signifikan bagi persahabatan erat Malaysia-Thailand serta komuniti ASEAN.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |