BERITA SEMASADALAM NEGERI

PMS Damar Berkat kembalikan ‘hak’ kepada peneroka

FELDA BUKIT DAMAR – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) kelmarin melancarkan Pusat Mengumpul Sawit (PMS) Damar Berkat di sini sebagai inisiatif pengurusan hasil sawit yang lebih sistematik dan telus.

Melalui pelancaran pusat pengumpulan dan model baharu pengurusan hasil sawit itu, FELDA yakin akan dapat memastikan ketirisan sistem yang sejak sekian lama merugikan peneroka.

Pengerusi FELDA, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, langkah itu disifatkan sebagai titik permulaan kepada reformasi besar-besaran dalam pengurusan hasil peneroka yang sebelum ini menjadi mangsa kepada rantaian sistem tidak telus didalangi peraih, sindiket penimbang dan agen luar.

“Sistem lama telah membuka ruang kepada “singa, buaya dan gajah” yang menindas peneroka melalui manipulasi harga dan penipuan timbangan. Peneroka kerja siang malam, tetapi hasilnya orang lain kaut.

“FELDA tidak boleh lagi berdiam diri. Ketirisan yang berlaku bukan sahaja merugikan peneroka secara individu, malah FELDA secara keseluruhan dengan anggaran kerugian mencecah RM200 juta setahun akibat kehilangan hasil tidak direkod dan aktiviti luar sistem.

“Mereka (peraih) memanipulasi hasil sawit, ambil untung tanpa usaha, sawit ‘hilang’ di tengah jalan malah pembayaran tidak telus. Situasi ini telah melemahkan kedudukan koperasi dan menjejaskan ekosistem pembangunan luar bandar,” katanya.

Pengerusi FELDA Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyifatkan PMS itu mampu mewujudkan satu sistem yang telus dan efisien untuk menyelesaikan masalah peneroka pada masa lepas dan memudahkan kehidupan mereka pada masa hadapan.

Ahmad Shabery Cheek berkata demikian ketika berucap melancarkan Damar Berkat – Pusat Mengumpul Sawit (PMS) di Felda Bukit Damar, Pahang, kelmarin.

Dalam pada itu, jelas Ahmad Shabery Cheek, FELDA kini meletakkan semula kawalan penuh ke atas proses pengumpulan hasil sawit, bermula dari ladang hingga ke kilang selaras dengan penubuhan PMS Damar Berkat

“Segala keuntungan daripada operasi Damar Berkat akan disalurkan semula kepada peneroka melalui dividen koperasi sebagai satu lagi langkah yang memperkukuh kembali kekuatan ekonomi warga tanah rancangan.

“Ini bukan soal sawit semata-mata. Ini soal keadilan. Ini soal kita menuntut kembali apa yang sepatutnya menjadi milik kita,” ujarnya.

PMS Damar Berkat akan menjadi pusat mengumpul sawit pertama yang menggunakan lori EV dalam pengumpulan hasil, sekali gus membuka ruang kepada FELDA untuk meneroka potensi perniagaan karbon pada masa hadapan.

Kongsi Pengerusi Felda itu lagi, setiap hasil kini direkod secara digital dan dipantau melalui sistem yang telus, sekali gus menutup terus ruang manipulasi oleh orang tengah dan akan dikendalikan sepenuhnya oleh Koperasi Permodalan FELDA (KPF).

“Sebelum ini, KPF pernah mengalami kejatuhan dividen yang ketara daripada sekitar 14 peratus kepada hanya lima peratus ekoran kelemahan dalam sistem agihan hasil. Dengan pembaharuan ini, FELDA mensasarkan pemulihan semula kekuatan koperasi sebagai nadi pembangunan ekonomi komuniti peneroka.

“FELDA sedang mengambil inisiatif dengan mengunakan sistem kebolehjejakan dan teknologi lebih bersepadu dan mampan bagi mengurangkan ketirisan. Harapan kami, langkah itu akan memberi pulangan secara terus kepada peneroka.

“Malah, FELDA juga memperkenalkan penggunaan lori EV, Sustainable Future (SF) dengan sistem kebolehjejakan dan teknologi lebih bersepadu bagi mengurangkan kebocoran dalam system,” ujarnya.

PMS Damar Berkat merupakan simbol permulaan transformasi besar FELDA ke arah pemodenan pengurusan hasil peneroka secara lestari dan menyeluruh, sekaligus memperkukuh kedudukan peneroka dalam ekosistem industri sawit negara.

Pengerusi FELDA itu turut menekankan bahawa Damar Berkat bukan sekadar pusat pengumpulan fizikal, tetapi simbol perjuangan mengembalikan maruah dan hak peneroka yang pernah terabai.

Ujarnya lagi, langkah itu juga diharap dapat menghapuskan budaya kebergantungan kepada peraih yang selama ini mengambil kesempatan ke atas peneroka yang tidak mempunyai pilihan lain.

“Peneroka tidak lagi perlu menghantar buah sawit ke luar sistem dengan bayaran tidak telus dan dipotong secara tidak sah. Pusat pengumpulan ini turut akan menjadi pangkalan data hasil peneroka yang lebih sistematik, membantu FELDA merancang strategi pasaran, logistik dan bantuan subsidi dengan lebih tepat dan bersasar.

“Ini selaras dengan transformasi FELDA ke arah organisasi yang berdaya saing dan mampan dalam memulihkan semula kepercayaan peneroka terhadap institusi ini, yang sebelum ini sedikit tercalar akibat kelemahan pengurusan dan pengaruh pihak luar.

“Peneroka kini bukan sahaja dapat menjual hasil pada harga yang lebih adil, malah menerima bayaran secara lebih cepat dan telus. Ini memberikan kelegaan besar kepada golongan yang selama ini terpaksa bergantung kepada bayaran tidak menentu daripada pembeli luar,” kongsinya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button