PM X

PM yakin rakyat rasai hikmah keadilan, kebijaksanaan Al-Sultan Abdullah

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin seluruh rakyat Malaysia merasai hikmah keadilan dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah sepanjang pemerintahan Seri Paduka.

Menurut Perdana Menteri, keprihatinan Tuanku dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah terhadap kebajikan rakyat jelata juga melangkaui batasan biasa antara raja dengan rakyat.

“Duli Tuanku telah menyempurnakan amanah pemerintahan dengan sempurna melalui sifat-sifat yang merakyat serta istiqamah menyelami denyut nadi rakyat jelata dalam memastikan keamanan dan kesejahteraan terus diutamakan dalam apa jua keadaan.

“Kebijaksanaan dan kewibaan Tuanku juga jelas terpancar sewaktu menyelesaikan kemelut politik negara sehingga mewujudkan Kerajaan Perpaduan yang telah berjaya mempertaut permuafakatan dan memungkinkan kestabilan dapat dikecapi,” katanya.

Anwar berkata demikian dalam Sembah Ucapan pada Majlis Jamuan Negara sempena tamat pemerintahan Yang di-Pertuan Agong ke-16 malam tadi.

Tambah Perdana Menteri, kewujudan konsep Raja Berperlembagaan dan peranannya dalam sistem demokrasi bercorak Westminster ternyata melonjak peri pentingnya terutama dalam merungkai mehnah dan kemelut politik yang berpanjangan di masa lalu.

“Berbekalkan kepercayaan ini dan keprihatinan terhadap rakyat tambah memperkuat iltizam Jemaah Menteri dalam memastikan negara ditadbir dengan baik demi mengangkat darjat negara serta tahap kesejahteraan rakyat.

“Insya-Allah, kerajaan bertekad untuk terus berusaha dan berbakti dengan sepenuh jiwa raga demi rakyat dan negara tercinta,” ujarnya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button