PMX

Malaysia tegaskan serangan dron Iran ke atas Israel adalah tindakan yang sah

KUALA LUMPUR – Malaysia menegaskan pelancaran dron-dron oleh Iran merupakan tindakan yang sah berikutan serangan biadab rejim Zionis Israel terhadap Kedutaan Iran di Damsyik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan berpuas hati dengan jaminan yang diberi oleh kerajaan Iran bahawa ia tidak akan mengambil apa -apa lagi tindakan, kecuali diserang oleh Israel.

“Bersama negara-negara bertamadun yang lain, Malaysia menggesa rejim Zionis Israel untuk tidak mengambil apa-apa lagi tindakan balas yang akan memburukkan lagi keadaan tegang di Timur Tengah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri telah mempengerusikan Mesyuarat Khas Sidang Majlis Keselamatan Negara yang membincangkan mengenai situasi tegang di Timur Tengah susulan serangan dron dan peluru berpandu Iran ke atas Israel awal pagi semalam.

Yang hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin; Menteri Dalam Negeri, Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Ketua Setiausaha Negara; Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Sebelum ini, Iran berikrar membalas dendam atas apa yang disebutnya sebagai ‘jenayah April dalam serangan Israel ke atas konsulat Damsyik’.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, kunci penyelesaian kepada isu ini adalah penyelesaian serta-merta yang adil terhadap keadaan yang tidak berperikemanusiaan yang melanda Gaza.

“Oleh itu, perhatian masyarakat antarabangsa mesti ditumpukan kepada isu ini, tanpa gangguan lain.

“Gencatan senjata yang berkekalan mesti diwujudkan untuk membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan,” ujar beliau.

Dalam perkembangan yang sama, Anwar berkata, sumbangan Malaysia terbaru sebanyak 100 kontena dijangka akan berlepas pada 27 April ini.

Tambah Perdana Menteri, terdapat tanda yang jelas bahawa masyarakat antarabangsa tidak mahu melihat keadaan yang lebih buruk lagi.

Jelas beliau, perkembangan tersebut memberikan kesan yang kecil kepada negara dengan Bursa Malaysia dibuka dengan kejatuhan yang amat kecil, yang mencerminkan trend serantau.

“Walau apapun, kerajaan Madani akan terus memantau perkembangan ini dengan teliti dan akan mengambil langkah-langkah proaktif untuk memastikan bahawa keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan rakyat akan sentiasa terjamin. Kepentingan negara akan sentiasa menjadi matlamat utama,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button