Malaysia bersedia bawa rakyat Palestin cedera untuk rawatan – PM
KUALA LUMPUR – Kerajaan bersedia membawa rakyat Palestin yang cedera untuk mendapatkan rawatan di negara ini, demikian hasrat yang dinyatakan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, kerajaan akan menyediakan dana bagi tujuan berkenaan, selain menzahirkan penghargaan kepada mana-mana negara-negara yang turut sama berkerjasama menjayakan misi kemanusiaan itu.
“Saya berhubung dengan Presiden (Mesir) Abdel Fattah El-Sisi meminta bantuannya bagi memudah cara bantuan kemanusiaan (ke Palestin) dan sokongan, serta membenarkan kami membawa pulang beberapa wanita dan kanak-kanak Palestin yang cedera untuk dirawat di Malaysia.
“InsyaAllah kita akan lakukan sedaya upaya. Kita akan bantu yang sakit sama ada dirawat di sana (Palestin) atau bawa ke mari untuk beri rawatan,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika menyampaikan pidato dalam acara kemuncak pada Himpunan Pembebasan Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini, malam tadi.
Kira-kira 10,000 peserta menghadiri himpunan itu yang turut dihadiri anggota Jemaah Menteri yang turut menyampaikan pidato.
Himpunan Pembebasan Palestin itu adalah bagi mengecam pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh, sekali gus menunjukkan pendirian tegas Malaysia terhadap kekejaman dan penindasan yang dilakukan rejim Zionis ke atas rakyat Palestin.
Sementara itu, Perdana Menteri turut berharap agar rakyat Malaysia tidak berhenti berbicara dan menghulurkan bantuan demi meringankan penderitaan rakyat Palestin.
“Saya mahu Malaysia terletak dalam peta sejarah yang negara lebih konsisten, dan sungguh-sungguh dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin.
“Kita akan teruskan usaha ini. Saya mohon maaf tak mampu bicara panjang. Insya-Allah dengan mandat yang diberikan rakyat Malaysia, saya akan lakukan sedaya-upaya yang mampu untuk membantu dan membela nasib mereka,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






