PMX

Kerajaan tetapkan potongan KWSP pekerja asing sebanyak 2 peratus

KUALA LUMPUR – Kerajaan menetapkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja asing pada kadar dua peratus.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kadar itu adalah sangat rendah dan tidak membebankan majikan berbanding cadangan asal, iaitu sebanyak 12 peratus.

“Timbul kebimbangan bahawa ia mungkin kumulatif bermula pada 2 peratus kemudian meningkat kepada 4 peratus dan 6 peratus. Itu tidak berlaku.

“Kerajaan memutuskan untuk mengekalkannya pada 2 peratus buat masa ini, dan kami akan menunggu sehingga keadaan bertambah baik,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Gabungan Dewan Perniagaan Dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), di ibu negara hari ini.

Terdahulu, pada pembentangan Belanjawan 2025, Anwar memaklumkan bahawa kerajaan komited untuk memberi layanan adil kepada semua pekerja tanpa mengira kewarganegaraan sesuai dengan piawaian antarabangsa.

Beliau berkata, kerajaan bercadang mewajibkan semua pekerja bukan warga negara untuk mencarum KWSP, yang akan dilaksanakan secara berfasa.

Langkah mewajibkan caruman KWSP oleh pekerja asing mengikut kadar sama seperti pekerja tempatan dijangka menjana tabungan tambahan kira-kira RM7 bilion setahun kepada ekonomi.

Untuk rekod, buat masa ini, kadar caruman bagi pekerja tempatan ialah masing-masing 13 peratus dan 11 peratus untuk majikan dan pekerja.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button