PMX

Forum Ilmuan Madani: PM tekankan perubahan individu tonggak kemajuan negara

KUALA LUMPUR – Nilai moral yang tinggi, keprihatinan terhadap isu sosial serta kesedaran sivik dalam kalangan rakyat menjadi asas kukuh terhadap usaha melahirkan masyarakat yang maju dan negara yang harmoni.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, elemen kesedaran itu perlu mengambil kira perubahan dunia semasa, khususnya kemajuan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) yang semakin mempengaruhi cara hidup dan pembangunan masyarakat.

Walau bagaimanapun, Anwar berkata, teknologi tersebut memerlukan kawalan dan penyesuaian agar manfaatnya dapat dinikmati secara adil dan beretika.

“Justeru, apabila saya mencadangkan penubuhan Fakulti AI, ia adalah satu langkah penting dan selari dengan arus perubahan dunia, yang menuntut kebersamaan semua pihak agar kita mampu dan bersedia menghadapi cabaran mendatang,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau menekankan perkara tersebut ketika menghadiri Forum Ilmuan Madani (FIM) siri lima di sini, malam tadi.

Forum bertajuk ‘Peranan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan dalam Menyemarakkan Transformasi Korporat: Keseimbangan Antara Keuntungan dan Tanggungjawab Sosial ke Arah Negara Kreatif’ adalah anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Mengulas lanjut, Anwar berkata, sebarang perubahan seharusnya bermula dari dalam diri setiap individu, sebelum mampu memberi impak yang lebih besar kepada kemajuan dan kesejahteraan negara.

“Di akhir majlis, saya menitipkan pesanan bahawa lonjakan dan perubahan adalah kunci sekiranya kita ingin membentuk sebuah negara yang benar-benar maju,” ujarnya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button