PMX

Cadangan penambahbaikan, usaha tingkat pendapatan bersih penjawat awam diumum pada Hari Pekerja – PM

KUALA LUMPUR – Cadangan penambahbaikan termasuk usaha meningkatkan kadar pendapatan bersih penjawat awam akan diumumkan pada perhimpunan Hari Pekerja nanti, awal bulan depan.

Perkara tersebut dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (JIKSPA) Bilangan 3 Tahun 2024 hari ini yang membincangkan secara lebih lanjut berhubung struktur gaji penjawat awam.

“Semoga usaha ini menjadi motivasi buat penjawat awam untuk meningkatkan produktiviti dan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Anwar mengesahkan kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) sudah berada di peringkat akhir bagi meningkatkan kadar upah penjawat awam di negara ini selepas 10 tahun gaji penjawat awam tidak dinaikkan.

Dalam perkembangan yang sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan, skim gaji baharu untuk penjawat awam hampir dimuktamadkan dan akan diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

Perdana Menteri berkata, kerajaan komited dalam usaha menambah baik struktur gaji penjawat awam yang dilaksanakan menerusi Kajian SSPA, disebalik ekonomi negara yang mencabar kesan ketidaktentuan geopolitik dunia.

“Alhamdulillah, mesyuarat hari ini hampir memuktamadkan penambahbaikan struktur gaji baharu penjawat awam, yang seterusnya akan diputuskan di dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
 
“Kerajaan mengambil pendirian dan tanggungjawab ini mengambil kira tekanan kos sara hidup bagi penjawat awam terutamanya yang berpendapatan rendah,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button