
PM umum kenaikan 15 peratus gaji penjawat awam
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelarasan gaji untuk penjawat awam dengan kenaikan sebanyak 15 peratus bagi kumpulan pelaksana dan tujuh peratus untuk kumpulan pengurusan tertinggi.
Menurutnya, pelarasan itu akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat dengan fasa pertama bermula pada 1 Disember ini.
“Fasa seterusnya dijadualkan bermula pada 1 Januari 2026. Kita laksanakan secara berfasa disebabkan kekangan tertentu dan untuk mengelakkan berlakunya inflasi,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar turut menegaskan bahawa ketua jabatan yang gagal melaporkan salah laku pegawai bawahannya akan dikenakan tindakan tatatertib yang boleh menyulitkan peluang mereka untuk kenaikan pangkat.
“Adalah menjadi tanggungjawab ketua jabatan untuk memperkukuhkan integriti dan tadbir urus Perkhidmatan Awam. Oleh itu, ketua jabatan yang gagal melaporkan salah laku pegawai bawahannya akan dikenakan tindakan tatatertib dan seterusnya, menjejaskan peluang kenaikan pangkat,” ujarnya.
Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) Ke-19 di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Adnan Mat.
Sehubungan itu, Anwar mengarahkan ketua jabatan melaksanakan pusingan kerja secara berterusan bagi mengelakkan kes salah laku dalam kalangan pegawai awam.
Selain itu, beliau juga meminta agar perkhidmatan penjawat awam disesuaikan dengan beban tugas hakiki dan tidak lagi dibebani dengan tugasan bersifat pentadbiran.
“Kita juga perlu memastikan perkhidmatan yang terus kepada rakyat, seperti keperluan doktor di hospital dan pegawai polis di lapangan, disesuaikan dengan beban tugas hakiki mereka.
“Saya mahu perkara ini diteliti sewajarnya oleh kementerian yang berkaitan dan melaksanakan penjajaran semula sumber kepada tempat yang benar-benar memerlukan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






