
PM tiba di Rom, komited perkukuh hubungan strategik Malaysia-Itali
ROM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat tiba di Rom bagi memulakan lawatan kerja rasmi selama tiga hari ke Itali atas jemputan rakan sejawatnya, Perdana Menteri Giorgia Meloni.
Lawatan itu mencerminkan komitmen kedua-dua negara untuk memperkukuh hubungan dua hala yang telah lama terjalin berteraskan semangat persahabatan, keyakinan dan saling menghormati.
Dalam satu hantaran di Facebook hari ini, Anwar menegaskan Malaysia melihat Itali sebagai rakan strategik penting di benua Eropah, khususnya dalam bidang perdagangan, pelaburan, industri pertahanan serta peralihan tenaga yang mampan.

“Sebagai Pengerusi ASEAN, kunjungan ini turut memperhebat nilai hubungan antara rantau Asia Tenggara dan Eropah, lebih-lebih lagi dalam landskap geopolitik dan geoekonomi yang semakin mencabar,” ujar beliau.
Perdana Menteri menyatakan keyakinan bahawa lawatan itu akan membuka lembaran baharu dalam kerjasama dua hala yang lebih dinamik serta memberi manfaat konkrit kepada kedua-dua negara.
Setibanya di Rom, beliau terus menghadiri sesi ramah mesra dan makan malam bersama diaspora Malaysia yang menetap di Itali.
BACA : PM berlepas ke Itali, Perancis dan Brazil bagi lawatan rasmi, Sidang Kemuncak BRICS
Dalam pertemuan itu, Anwar berkongsi perkembangan dasar serta pelbagai usaha kerajaan di bawah Kerajaan MADANI dalam memperjuangkan kebajikan rakyat dan hala tuju negara.
Beliau turut menekankan peranan penting warga Malaysia di luar negara sebagai duta kecil yang membawa nama baik negara di pentas antarabangsa.
“Saya menyeru agar warga diaspora terus merebut peluang untuk memperkukuh ilmu, kemahiran dan jaringan, seterusnya menyumbang kembali kepada tanah air,” pesan Anwar kepada komuniti Malaysia di Itali.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |
3 Comments