Berita SemasaPM X

PM seru negara anggota ASEAN perkukuh perdagangan serantau

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru negara-negara anggota ASEAN agar mengukuhkan kerjasama perdagangan serantau dengan pendekatan berdikari, tanpa terlalu bergantung kepada pihak luar.

Berucap pada Persidangan Pelaburan ASEAN 2025 hari ini, Anwar berkata, untuk kekal berdaya saing dalam ekonomi global yang mencabar, komuniti ASEAN perlu bertindak segera dengan melaksanakan dasar dan tindakan konkrit, bukan sekadar berpegang pada retorik.

“Liberalisasi tarif dalam rantau ini sebahagian besarnya telah lengkap, namun penjajaran kawal selia, logistik rentas sempadan dan ketersambungan digital masih belum ditangani sepenuhnya,” katanya di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Persidangan Pelaburan ASEAN 2025 diadakan sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) ke-12 yang berlangsung dari 7 hingga 10 April ini.

Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, dalam ketidaktentuan iklim perdagangan dunia, ASEAN menyerlah sebagai sumber harapan baharu.

“Secara umumnya, kita masih komited terhadap prinsip keterbukaan, kerjasama dan kesinambungan institusi. Jumlah dagangan barangan ASEAN kini mencecah AS$3.5 trilion, namun angka ini tidak dijamin kekal.

“Dengan ancaman tarif bertubi-tubi yang melanda dunia secara pantas, kita menyaksikan kemelut global yang memerlukan tindakan segera,” katanya.

Pada minggu lalu, pentadbiran Presiden Donald Trump umum mengenakan tarif timbal balik 24 peratus ke atas import dari Malaysia dalam gelombang perang perdagangan global.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button