
PM sangkal dakwaan iktiraf Israel dalam wawancara bersama CNN
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyangkal dakwaan yang menyatakan bahawa beliau mengiktiraf negara haram Israel dalam wawancara bersama media antarabangsa CNN.
Perdana Menteri sebaliknya menegaskan rakaman video wawancara itu telah diambil di luar konteks sebenar.
Beliau berkata, Malaysia kekal dengan pendirian untuk tidak mengiktiraf kewujudan negara haram itu, selain konsisten menyuarakan bantahan terhadap kekejaman yang dilakukan Israel di pentas antarabangsa.
“Dari zaman Tunku Abdul Rahman (Perdana Menteri Pertama), Malaysia tidak iktiraf Israel hingga sekarang. Jadi dibezakan antara pengiktirafan ‘de facto’ yang saya sebut, ya, kalau iktiraf dia ‘de facto’ mana-mana negara yang diiktiraf ‘de facto’ tidak boleh diserang.
“Jadi sebab itu mana-mana negara kalau ‘de facto’ dia boleh pertahankan, lepas itu kalau dengar saya dalam konteks, saya serang Israel habis-habisan,” katanaya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Dr Mohammed Taufi Johari (PH – Sungai Petani) berhubung video pendek wawancara Anwar bersama hos agensi media antarabangsa CNN, Richard Quest yang telah menimbulkan persepsi negatif terhadap Perdana Menteri.
Anwar kemudian menjelaskan, beliau tidak mahu bertelagah mengenai dakwaan tersebut, sebaliknya beliau menyifatkan perkara itu adalah sebagai satu permainanan politik oleh pihak pembangkang.
“Kalau tidak setuju satu dua perkataan, tidak mengapa, saya tidak mahu berbalah mengenai perkara itu.
“Tetapi tidak benar untuk dikaitkan dan menghina dalam keadaan kita berperang dalam isu ini. Ini bukan isu politik, ia isu yang lahir daripada keyakinan kita dan perjuangan selama berpuluh-puluh tahun,” kata Ahli Parlimen Tambun itu.
Tambah Anwar yang juga Menteri Kewangan, kerajaan malah kini lebih tegas berbanding kerajaan terdahulu dalam melibatkan isu Israel dan ia dibuktikan dengan keputusan untuk tidak membenarkan syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel, ZIM berlabuh di mana-mana pelabuhan Malaysia.
“Saya tidak faham mengapa perkara ini harus dipolitikkan walhal (sewaktu pentadbiran) kerajaan dulu, pesawat Israel pun boleh masuk, kapal ZIM boleh berlabuh hingga tahun 2022, tiada pula tanya?,” soalnya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |