BERITA SEMASADALAM NEGERI

PM sahkan bincang tarif AS pada sidang khas 5 Mei

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan satu sidang khas akan diadakan di Dewan Rakyat pada 5 Mei depan bagi membincangkan isu tarif Amerika Syarikat (AS).

“Yes (ya), ada,” katanya ringkas kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025 Jabatan Perdana Menteri di Dewan De’Seri Endon, Puspanitapuri di sini hari ini.

Terdahulu hari ini, akhbar Sin Chew Daily melaporkan Dewan Rakyat dijangka mengadakan sidang khas pada 5 Mei depan bagi membincangkan isu tarif balas yang dikenakan oleh negara itu terhadap rakan dagangnya.

Anwar hadir pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025 Jabatan Perdana Menteri di Dewan De’Seri Endon Puspanitapuri, Putrajaya hari ini.

Menurut laporan akhbar itu, Pejabat Perdana Menteri telah mengeluarkan notis awal dan sedang menunggu pengesahan rasmi daripada Anwar.

Difahamkan, sidang khas itu bertujuan memberi ruang kepada Ahli Kongres dari kedua-dua pihak membahaskan isu tarif berkenaan.

Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dijadualkan mengadakan lawatan kerja ke Washington pada Khamis (24 April) ini selama dua hari.

Dalam lawatan tersebut, beliau dijangka bertemu dengan Wakil Perdagangan AS (USTR), Katherine Tai dan beberapa pegawai kerajaan lain bagi membincangkan isu tarif balas yang dicadangkan AS terhadap Malaysia.

Presiden AS, Donald Trump pada 3 April lalu mengumumkan negara itu akan memperkenalkan tarif asas sebanyak 10 peratus kepada semua negara dan duti yang lebih tinggi melibatkan beberapa negara termasuk Malaysia sebanyak 24 peratus.

Bagaimanapun pelaksanaan tarif baharu itu ditangguhkan bagi tempoh 90 hari lagi.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button