PM rasmi LIMA’25, tegaskan kepentingan pertahanan serantau
LANGKAWI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merasmikan Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) dengan menyatakan kepentingan siapsiaga pertahanan negara bagi menjamin kestabilan dan keamanan rantau ini.
Beliau berkata, kedudukan Malaysia yang strategik sebagai sebuah negara maritim yang dikelilingi Lautan Hindi, Laut China Selatan dan Selat Melaka menuntut keupayaan ketenteraan yang berdaya saing dan bersedia dalam segala keadaan.

“Malaysia tidak boleh leka dalam soal pertahanan kerana ancaman keselamatan masa kini semakin kompleks.
“LIMA’25 menjadi platform penting dalam memperkukuh jaringan kerjasama pertahanan, khususnya dengan negara serantau dan kuasa besar dunia,” katanya dalam ucapan semasa Majlis Perasmian LIMA’25 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), malam tadi.
Menurut Anwar, LIMA’25 bukan sahaja mencerminkan kemajuan teknologi ketenteraan, malah memperlihatkan kesediaan Malaysia untuk menjadi rakan strategik yang konstruktif dalam menjaga kestabilan serantau.
“Malaysia mengalu-alukan penyertaan negara seperti China, India, Korea, Amerika Syarikat dan Eropah dalam LIMA’25, selaras dengan pendekatan terbuka dan damai. ASEAN juga kekal sebagai tonggak utama kestabilan rantau ini,” katanya lagi.
Acara perasmian diteruskan dengan gimik lintas terbang pesawat pejuang Sukhoi SU-30MKM milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang mencetuskan sorakan hadirin, menandakan permulaan rasmi pameran lima hari itu.
Sebanyak 25 pesawat pelbagai jenis terlibat dalam pertunjukan udara selama 10 minit di ruang udara Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL), termasuk F/A-18D Hornet, PC-7 MKII, A400M, EC-725, AW-139 dan EC-120B.
Aksi udara itu mempamerkan pelbagai formasi kompleks, termasuk terbang rendah, sebelum ditutup dengan demonstrasi simulasi letupan bom melibatkan teknik ‘fireball’, ‘straffing’ dan ‘firewall’ sepanjang 300 meter yang dilaksanakan oleh anggota TUDM.
Turut hadir menyaksikan acara perasmian ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor; serta Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








