BERITA SEMASAINISIATIF KERAJAANKEMENTERIAN PERTAHANANPMX

PM puas hati kerja pembinaan LCS

LUMUT – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpuas hati dengan kemajuan kerja-kerja pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang dibuat Lumut Naval Shipyard (LUNAS) di Pangkalan Tentera Laut Diraja (TLDM) di sini.

Perdana Menteri berkata, kemajuan itu baginya amat membanggakan dan merupakan bukti kerajaan meletakkan aset keselamatan negara sebagai keutamaan dan cerminan perubahan yang dibuat Kerajaan Madani yang mementingkan tatakelola dan menekankan aspek ‘tadbir urus baik’, lapor BERNAMA.

“Kita meletakkan peranan Angkatan Tentera Laut (TLDM) itu sebagai benteng yang utama kerana perairan negara tidak terlepas daripada pelbagai kegiatan kemungkinan terrorisme, kemungkinan serangan negara-negara lain, penyeludupan, sebab itu saya setuju untuk meneruskan projek LCS di bawah Kementerian Kewangan.

“Pengalaman lepas (kelewatan) sebab pengurusannya, sebab tatakelolanya, sebab rasuahnya, kalau pengurusan itu lemah, bagaimana terjamin maritim ini selamat. Sebab itu kita tidak boleh lari daripada apa disebut good governance,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Program Kenduri Rakyat Menyantuni Warga TLDM Lumut sempena Program Madani Rakyat 2025 Perak di Dewan Shariff, Pangkalan TLDM Lumut, di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Terdahulu, Perdana Menteri turut melakukan lawatan kerja bagi meninjau kerja-kerja pembinaan LCS di LUNAS.

Sementara itu Anwar berkata, kerajaan juga sentiasa mengambil berat keperluan menambah baik aset- aset pertahanan negara, dan untuk tujuan itu kementerian pertahanan adalah antara kementerian diberikan peruntukan terbesar dalam belanjawan setiap tahun.

“Ini antara tiga (kementerian diberi peruntukan) terbesar… Yang pertama pendidikan, kedua kesihatan dan ketiga pertahanan. Untuk tahun 2025 sahaja RM21.2 bilion ringgit, bayangkan bukan kecil bagi negara yang berkembang, kita beri peruntukan yang besar,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button