BERITA SEMASA

PM minta KKM teliti semula tuntutan pengamal perubatan mengenai peraturan pamer harga ubatan

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Kementerian Kesihatan (KKM) meneliti semula isu tuntutan pengamal perubatan mengenai peraturan yang mewajibkan klinik swasta dan farmasi mempamerkan harga ubat-ubatan.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, isu mengenai penggunaan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) itu dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet, hari ini.

“Mengenai isu pemaparan harga ubat di klinik-klinik swasta, hospital swasta dan farmasi, Perdana Menteri telah meminta supaya Menteri Kesihatan (Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad) segera meneliti isu ini.

“Apa yang dibangkitkan melibatkan penggunaan Akta 723 iaitu Akta Antipencatutan iaitu di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Jadi ada dalam kalangan doktor yang bertanya kenapa Akta tersebut digunakan dan bukan Akta 586 jadi Perdana Menteri telah meminta supaya perkara ini segera dijelaskan,” katanya.

Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata demikian dalam sidang akhbar mingguannya, di sini hari ini.

Beliau kemudian turut berkata, Jadual 7 Akta 586 yang mengawal harga konsultasi ke atas klinik-klinik swasta akan turut dilihat semula

“Menteri Kesihatan telah memaklumkan bahawa persiapan kertas Jemaah Menteri telah dibuat dan dalam edaran, jadi kita jangka dalam tempoh satu atau dua minggu.

“Hal ini akan dibawa semula ke Jemaah Menteri untuk diputuskan perkara yang telah dibangkitkan oleh para doktor melalui Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) telah diambil tahu oleh Jemaah Menteri pada hari ini.

“Beberapa langkah segera telah dibuat oleh pihak KKM untuk memastikan pelaksanaan dasar pemaparan harga ubat ini dapat dilaksanakan dengan jayanya,” katanya lagi.

Semalam, kira-kira 200 pengamal perubatan mengadakan perhimpunan di hadapan Bangunan Perdana Putra di sini mendesak kerajaan menyemak semula penggunaan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) terhadap profesion perubatan itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button