
PM mahu seluruh rakyat Malaysia jadi ejen perpaduan, satukan masyarakat pelbagai kaum
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru seluruh rakyat Malaysia agar turut sama menjadi ejen perpaduan dalam usaha membantu Kerajaan Madani menyatukan seluruh masyarakat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, kaum, agama dan bangsa.
Menurut Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, seruan itu disampaikan Perdana Menteri semasa beliau menghadiri Majlis Iftar bersama Pengamal Media di Angkasapuri semalam.
“Dalam majlis itu Perdana Menteri telah bertemu dengan tiga penyampai radio yang mana Perdana Menteri sempat memberi nasihat dan berpesan kepada mereka agar membawa mesej perpaduan dalam tugasan harian di tempat mereka iaitu stesen radio.
“Mesej Perdana Menteri itu bukan hanya ditujukan kepada mereka namun kepada semua pihak agar menjadi ejen perpaduan dan membantu usaha Kerajaan Madani menyatukan seluruh rakyat Malaysia yang terdiri daripada latar belakang, kaum, agama dan bangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam taklimat harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang disiarkan secara langsung di Facebook Anwar Ibrahim dan PMO Malaysia hari ini.
Selain itu, Nashrul berkata, Perdana Menteri turut berharap setiap rakyat Malaysia dapat menoktahkan perkara ini dan bergerak ke hadapan dalam memastikan negara terus stabil dan perpaduan di negara ini mekar dan harmoni.
“Perdana Menteri juga menzahirkan penghargaan mana mana pihak yang telah menghentikan sebarang unsur negatif atau cubaan untuk mengeruhkan keadaan.
“Perdana Menteri juga ingin tegaskan semua pihak perlu faham akan perubahan akta dan undang-undang yang menyebabkan berlakunya perbezaan hukuman dan denda yang dikenakan sebarang tanggapan dan perkongsian maklumat akan mencetuskan persepsi tidak sihat,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Nashrul berkata, Perdana Menteri turut akan mempengerusikan Mesyuarat Jemaah Menteri dan sebarang keputusan atau hasil perbincangan akan dimaklumkan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil pada petang ini.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |