Berita SemasaPM X

PM mahu MOTAC pergiat inisiatif pameran karya seni, sastera dan budaya tokoh besar negara

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) disaran meningkatkan inisiatif dalam mempamerkan serta menerbitkan karya seni, sastera dan budaya daripada tokoh-tokoh besar di negara ini.

Saranan itu dikemukakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan usaha berkenaan penting dslam memastikan bidang berkenaan terus diperkasa bagi rujukan generasi akan datang.

Anwar berkata, usaha tersebut boleh diterjemahkan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menerusi agensi di bawah kelolaanya seperti Balai Seni Negara, Perpustakaan Negara serta Arkib Negara yang mampu mempromosikan karya-karya berkenaan.

“Kita tahu subjek Matematik dan Sains, penguasaan bahasa itu penting, ia satu pengajaran juga dalam usaha (kerajaan) melonjakkan pertumbuhan ekonomi, kita tak boleh meminggirkan seni, budaya dan sastera.

“Mungkin kita boleh perkenalkan tokoh besar dalam seni. Kita boleh ambil langkah tambahan termasuk di Balai Seni Negara dan tempat-tempat lain, Perpustakaan Negara dan Arkib Negara.

“King Sing boleh fikirkan kerana dia jaga lebih banyak pelancongan. Jadi, saya kena ingatkan bahawa pelancongan juga, ada seni, sastera dan budaya.

“Oleh itu, minta ucapan King Sing di mana-mana (acara) mesti ada kutip satu bait daripada puisi Pak Mat Said (Sasterawan Negara, Datuk Seri A Samad Said),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum melancarkan buku ‘Ismail Zain : Intermediations Selected Writings on Art and Aesthetics’ yang turut dihadiri King Sing serta timbalannya, Khairul Firdaus Akbar Khan di Balai Seni Negara di sini, hari ini.

Ismail Zain Intermediations: Selected Writings on Art and Aesthetics menghimpunkan karya terbesar Ismail Zain dalam satu jilid, dengan tulisan utama dalam bahasa Melayu dan diterjemah ke dalam bahasa Inggeris.

Sebagai seorang seniman, kurator, pendidik, dan pemikir seni, beliau merupakan figura berpengaruh dalam lanskap seni Malaysia.

Sumbangannya bukan sahaja dalam bidang seni, malah dalam pembangunan institusi awam seperti Balai Seni Negara dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), yang terus memainkan peranan penting dalam ekosistem seni negara.

Lebih daripada sekadar himpunan penulisan, buku tersebut menggambarkan bagaimana pemikiran Ismail Zain membentuk pemahaman terhadap perkembangan seni moden dan kontemporari.

Selain itu, ia turut mengupas mengenai peranan penulisan dalam dunia seni serta bagaimana ideanya boleh dibandingkan dengan wacana seni oleh pemikir lain.

Menerusi penerbitan buku ini, diharap ia bakal menjadi sumber rujukan bagi penggiat seni, ahli akademik dan orang ramai boleh mendapatkan buku ini di Kedai Galeri, Balai Seni Negara.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menambah, adalah tidak memadai sekiranya negara hanya menumpukan terhadap pemerkasaan ekonomi dan meminggirkan bidang seni, sastera dan budaya.

“Dalam kita ghairah dengan pemusatan perhatian kekuatan ekonomi, kita lupa bahawa pembangunan tamadun itu akan tempang usaha gigih memperkasa seni dan budaya.

“Saya percaya dengan kementerian dan peranan sasterawan, seniman dan Balai Seni Negara, pusat seperti ini harus memikir apa langkah baru untuk memastikan hasil dan karya ini sampai kepada rakyat biasa,” ujarnya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button