
PM mahu budaya buli, dera di sekolah, IPT dihentikan segera
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kejadian buli di sekolah dan institusi pengajian tinggi yang semakin kerap berlaku di negara ini sebagai ‘satu kegilaan’.
Justeru beliau memberi amaran bahawa kerajaan tidak akan bertolak ansur dalam kes buli dan dera yang bukan sahaja menyebabkan penganiyaan bahkan meninggalkan kesan trauma yang teruk kepada mangsa.
“Ini adalah kegilaan. Kita cakap soal ilmu, kita tidak tahu disiplin itu mendidik manusia.
“Darjat kemanusiaan dan ilmu itu penting kepada penghayatan. Ini adalah cabaran bagi setiap pimpinan naib canselor, profesor dan pensyarah termasuk saya dan menteri,” katanya selepas Program Temu Anwar di UPNM, di sini, hari ini.
Anwar berkata demikian susulan pendedahan satu lagi kes buli yang dipercayai berlaku di Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM) dan mula tular sejak malam semalam.
Mengenai kejadian itu, Anwar menyerahkan siasatan kepada polis dan telah mengarahkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek supaya tidak berkompromi dalam kes buli dan dera di sekolah dan IPT.
“Ini (buli) mesti dihentikan, guru besar, pengetua, pihak taska, dan pengetua kolej juga bertanggungjawab untuk melihat bagaimana menghentikan budaya buli.
“Ini kerana terlalu banyak aduan..yang itu kebetulan terbongkar di media sosial. Tetapi ini harus dihentikan,” katanya.
Malam semalam, seorang pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) UPNM dipercayai menjadi mangsa buli pelajar senior.
Semalam, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan sedang menyiasat kes seorang pegawai kadet di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) UPNM, Sungai Besi yang dipercayai menjadi mangsa buli dan dera oleh penuntut senior.
Pada 2017, negara digemparkan dengan kematian tragis pegawai kadet laut UPNM, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain akibat dibuli, dipukul dan diseksa apabila hampir keseluruhan anggota badannya berulang kali ditekap menggunakan seterika wap.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |