
PM hulur sumbangan kepada ibu tunggal hidup serba daif di Kuantan
KUANTAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini menyalurkan sumbangan kepada seorang ibu tunggal, Azizah Mahmood yang hidup dalam serba kekurangan di Kampung Tebing Tinggi, Balok, Pahang.
Sumbangan itu disampaikan oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi, ketika mengunjungi kediaman wanita berusia 42 tahun itu dalam program Ziarah Madani.
Menurut Ahmad Farhan, Azizah yang merupakan ibu kepada lima orang anak turut menghidap kanser usus dan memerlukan rawatan serta suplemen secara berterusan setiap bulan.
“Beliau hanya bergantung kepada pendapatan sebagai tukang cuci untuk menyara keluarga. Dalam keadaan kesihatan yang terbatas, beliau tetap berusaha memastikan anak-anak tidak terputus harapan,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook hari ini.
Ahmad Farhan berkata, kunjungannya itu bukan sahaja untuk menyampaikan sumbangan Perdana Menteri tetapi juga bagi meninjau sendiri keadaan Azizah dan mendengar keluh kesah yang dihadapi.
Katanya lagi, kerajaan sedang meneliti bentuk bantuan segera yang boleh disalurkan termasuk dari aspek rawatan kesihatan serta pembaikan rumah bagi meningkatkan kualiti hidup keluarga berkenaan.
“Semoga Azizah terus diberikan kekuatan dan kesembuhan. Doa kami agar urusan beliau dan anak-anak sentiasa dipermudahkan,” ujarnya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |