BERITA SEMASAPMX

PM gesa asatizah, umat Islam perkasa penguasaan al-Quran

KANGAR – Golongan asatizah dan umat Islam di negara ini digesa memperkasa usaha untuk memupuk kesedaran baharu, khususnya bagi memperkukuh penguasaan al-Quran sebagai asas membina maruah umat.

Dalam satu kenyataan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan kepentingan umat Islam untuk terus ‘menggali’ hikmah al-Quran bagi menjawab persoalan dan cabaran dalam zaman pasca normal.

“Kita harus mencabar minda umat melalui taffaquh fiddin yang segar bagi menghadapi kondisi ‘malaise’, yakni keletihan jiwa yang menuntut jawapan berasaskan kekuatan ilmu dan keutuhan nilai,” katanya di Facebook milik beliau hari ini.

Terdahulu, Anwar menghadiri Majlis Perasmian Pembukaan Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan 1446 Hijrah/2025 Masihi di Kuala Perlis malam tadi.

Dalam ucapannya, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kekuatan umat perlu dibina berasaskan agama yang menjadi asas kepada pembangunan Madinah dan seterusnya tamadun dalam kerangka negara MADANI.

Selain itu, beliau turut mengimbau peranan pendakwah di Alam Melayu sebagaimana direkodkan dalam Babad Tanah Jawi serta catatan Ibnu Battutah di Perlak yang menggambarkan pentingnya pendekatan dakwah penuh hikmah dan toleransi bagi mengelakkan perpecahan dalam kalangan umat.

“Umat meletakkan harapan tinggi kepada kita untuk melakukan pembaharuan dalam mendepani cabaran semasa yang semakin rumit dan rencam, sama ada di dalam mahupun luar negara,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan keperluan membina kekuatan dalaman umat, bukan sahaja dalam aspek akidah dan akhlak, tetapi juga dalam pengurusan ekonomi dan tatakelola kerajaan di semua bidang.

“Insya-Allah, kita akan terus berusaha dan berikhtiar memperkukuh taffaquh fiddin dan penguasaan pelbagai bidang bagi memastikan hasrat membangun umat dan negara tercapai di atas landasan prinsip luhur dan akhlak yang benar,” katanya.

Majlis tilawah berkenaan turut dihadiri oleh pelbagai tokoh agama dan peserta dari seluruh negara sempena sambutan memperkasa budaya ilmu dan penghayatan al-Quran dalam masyarakat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button