
PM cabar anak muda tolak pemimpin rasuah, lulus Akademi Sepak Takraw dengan peruntukan RM6 juta
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan golongan belia agar tidak membenarkan sama sekali pemimpin terpalit rasuah diberi peluang memimpin negara.
Dalam menzahirkan cabarannya kepada golongan tersebut, Anwar menegaskan, anak muda hari ini mempunyai semangat, ilmu dan daya juang yang tinggi serta berupaya menilai kepemimpinan berdasarkan integriti dan kejujuran.
“Saya nak tanya anak muda, apakah kita harus izinkan pemimpin rasuah? Apakah wajar kita ambil tindakan kepada rasuah dan ambil wang mereka untuk dicurahkan kepada rakyat?
“Saya tahu jawapannya kerana anak muda ini punyai pencerahan, semangat, keyakinan, ilmu dan daya juang yang tinggi. Yakin,” katanya ketika merasmikan Sambutan Hari Belia Negara (HBN) Peringkat Kebangsaan di Dataran Merdeka, malam ini.
Pada majlis tersebut, Perdana Menteri mengumumkan pelbagai inisiatif pembangunan belia bernilai lebih RM500 juta seperti yang telah digariskan di bawah Belanjawan MADANI 2025.
Inisiatiaf itu merangkumi aspek pendidikan, keusahawanan dan ekonomi, perumahan, latihan kemahiran dan pembangunan sosial.
“Inilah peruntukan belia paling tinggi dalam sejarah. Maknanya kita ini bukan sekadar ngomong-ngomong tapi mengambil tindakan.
“Ia adalah sebahagian daripada komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan tiada belia yang tercicir dalam arus pembangunan negara,” katanya.
Selain itu, Anwar juga bersetuju menyegerakan kelulusan penubuhan Akademi Sepak Takraw dengan peruntukan sebanyak RM6 juta bagi memperkasa sukan tradisi tersebut.
“YB Hannah (Yeoh) minta RM6 juta, tetapi saya hendak runding dulu, tengok kalau boleh potong sikit. Tetapi ia boleh diluluskan segera supaya siap sebelum hujung tahun ini,” ujarnya.
Pada majlis tersebut, Perdana Menteri turut menyempurnakan penyampaian Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) 2025 yang mengiktiraf pencapaian luar biasa anak muda tanah air.
Pemenang utama bagi kategori Individu Lelaki dan Wanita masing-masing disandang oleh Tashidaran Tharmar dan Amirah Mohamad Arshad yang masing-masing membawa pulang wang tunai RM20,000.
Bagi Kategori Emas Remaja Perdana, ia menjadi milik Zulkhairi Zainal Hisham yang menerima RM10,000.
Penerima lain termasuk Faris Azim Abdul Karim (Anugerah Khas Menteri), Majlis Belia India Malaysia (Kategori Kebangsaan) dan Angkatan Belia Islam Malaysia Perak (Pertubuhan Belia Terbaik).
Sambutan HBN 2025 yang berlangsung dari 13 hingga 15 Jun itu membawa tema Belia MADANI, Yakin Boleh dan menampilkan lebih 100 aktiviti belia termasuk acara ASEAN Youth Concert, Istimewa Run serta program kerjaya dan keusahawanan belia.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |