BERITA SEMASADALAM NEGERI

PM bertemu rombongan pondok dan madrasah Kelantan

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan rombongan institusi pondok dan madrasah dari Kelantan di Pejabat Perdana Menteri, di sini hari ini.

Pertemuan itu adalah susulan daripada jemputan khas beliau melalui satu pertemuan di majlis berbuka puasa di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya malam tadi.

Menurut Anwar, pertemuan itu membuka ruang yang bermakna untuk beliau bertukar pandangan mengenai pelbagai isu khususnya berkaitan perkembangan Islam dan pembangunan ummah.

Anwar bersalaman dengan salah seorang tuan guru dari institusi pondok dan madrasah Kelantan yang hadir pada pertemuan itu.

“Saya tekankan betapa pentingnya kita memperkukuh dasar Islam, khususnya dalam aspek pendidikan serta pelbagai inisiatif kerajaan dalam membina kekuatan dalaman umat Islam,” kata beliau melalui satu hantaran di laman Facebook.

Selain itu, Anwar turut menghargai pandangan dan nasihat para tuan guru terutama dalam memperkasakan pendidikan turath serta peranan institusi pondok di Malaysia.

“Dalam perbincangan ini, mereka menzahirkan kepentingan memperteguh semangat persaudaraan, memupuk kefahaman dan kasih sayang serta menghindari kebencian.

“Saya turut mendengar dengan sepenuh perhatian saranan agar usaha penjelasan mengenai inisiatif Kerajaan Madani dalam memperkukuh Islam dapat dilakukan dengan lebih bersungguh-sungguh,” katanya lagi.

Sepanjang perbincangan, kedua-dua pihak bersetuju bahawa terdapat banyak perkara yang boleh disepakati dalam hal-hal berkaitan Islam, berbanding memperbesar perbezaan.

Perdana Menteri turut berkongsi perkembangan positif mengenai komunikasi dan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Kelantan, khususnya dalam aspek pembangunan Islam.

Beliau juga berharap agar pertemuan seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang kerana ia menjadi wahana yang sangat bernilai dalam merangka usaha bersama demi kemaslahatan umat dan negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button