BERITA SEMASAPMX

PM berlepas ke Itali, Perancis dan Brazil bagi lawatan rasmi, Sidang Kemuncak BRICS

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berlepas ke Rom, Itali sebagai permulaan lawatan rasmi ke tiga negara yang turut merangkumi Perancis dan Brazil.

Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata, lawatan itu bertujuan mengukuhkan hubungan dua hala serta memperluas kerjasama strategik antara Malaysia dan negara-negara terbabit.

Di Rom, Perdana Menteri dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya, Perdana Menteri Giorgia Meloni, selain sesi libat urus bersama peneraju industri perniagaan Itali.

Anwar bersalaman dengan delegasi Malaysia yang mengikuti rombongan tersebut.

Beliau seterusnya akan meneruskan lawatan ke Paris untuk bertemu Presiden Emmanuel Macron serta mengetuai sesi rundingan bersama syarikat-syarikat gergasi industri Perancis.

Anwar juga dijadual menyampaikan syarahan umum bertajuk ‘Southeast Asia and Europe: Recalibrating the Terms of Engagement’ di Universiti Sorbonne, salah satu institusi pendidikan terkemuka dunia.

Lawatan ini turut melibatkan penyertaan Malaysia dalam Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-17 di Rio de Janeiro, Brazil atas jemputan Presiden Lula da Silva.

Malaysia hadir sebagai negara Rakan BRICS dan dalam kapasiti selaku Pengerusi ASEAN bagi tahun ini.

“Malaysia akan terus mengangkat kepentingan multilateralisme berteraskan undang-undang, tadbir urus kecerdasan buatan (AI), tindakan iklim dan kesihatan global demi masa depan dunia yang lebih adil dan inklusif,” ujar beliau.

Perdana Menteri turut memohon doa agar segala urusan sepanjang lawatan ini dipermudahkan serta membawa manfaat nyata buat rakyat dan negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button