
PM beri tempoh sebulan Felda kemuka pelan hala tuju baharu
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi tempoh selama sebulan kepada pengurusan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) untuk mengemukakan pelan hala tuju baharu badan berkenaan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pelan tindakan baharu itu adalah bagi memastikan Felda tidak kekal dalam kaedah lama ketika berdepan perubahan teknologi dunia, termasuk import dan eksport kelapa sawit dunia ketika ini.
“Dalam keadaan geopolitik tidak menentu ini, kita harus siapkan diri untuk berdepan dengan keadaan yang lebih mencabar.
“Saya beri tempoh satu bulan kepada pengurusan dan saya akan pastikan seluruh kekuatan dan jentera daripada kerajaan, Kementerian Kewangan dan pakar-pakar lain untuk memastikan bahawa kita puas hati dengan pendekatan, hala tuju baharu dalam masa singkat ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Perdana Menteri dan Warga Felda di Menara Felda di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Pengerusi Bursa Malaysia merangkap Pengerusi Pasukan Petugas Khas Felda, Tan Sri Abdul Wahid Omar; pimpinan kanan Felda, anak syarikat, serta wakil peneroka.
Berucap dengan lebih lanjut, Anwar berkata, kerajaan bersedia untuk meneruskan suntikan dana selagi Felda diyakini mampu terus diperkasakan.
“Kerajaan seperti mana semu sudah tahu, beri suntikan RM1 bilion setahun. Kita mahu lakukan (beri suntikan dana) asalkan kita yakin bahawa pendekatan dan hala tuju mampu menyelamatkan bukan sahaja gedung Felda ini tetapi peneroka di masa hadapan,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri meluangkan masa melawat kawasan sekitar Bangunan Felda termasuk diberi taklimat berkaitan Program SEJATI MADANI.
Beliau berkata, program itu melibatkan seluruh Tanah Rancangan Felda yang telah mencapai lebih 77 peratus dengan pelbagai aktiviti ekonomi komuniti Felda dalam tempoh singkat.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |