Berita SemasaPM X

PM arah program, projek berkepentingan rakyat disegerakan

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua program dan projek berkepentingan rakyat disegerakan.

Beliau berkata, program seperti membasmi kemiskinan serta tebatan banjir, yang diunjurkan mengambil masa lama perlu dirombak semula dan diselesaikan sesegera mungkin.

“Saya setuju dalam perbincangan, kita harus rombak itu semua, kalau banjir itu mengorbankan nyawa, mengorbankan harta, tak perlu tunggu sehingga enam tahun (untuk siapkan projek tebatan).

“Jadi hal ini yang harus diteliti semua KSU (Ketua Setiausaha kementerian), kalau tidak, KSU baharu datang, kemudian tengok skim banjir untuk tebatan banjir (sebagai contoh) Fasa 1 Rantau Panjang (Kelantan) dah siap, fasa kedua tahun 2026, fasa ketiga 2029, jadi orang Rantau Panjang kena tunggu 15 tahun baru nak siap,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat Tahun Baharu 2025 dalam perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini hari ini.

Anwar kemudiannya berkata, Jemaah Menteri akan terlibat dalam sesi pemukiman buat kali ketiga, dalam masa terdekat.

Pemukiman ini diadakan dengan tujuan bagi para menteri bertukar pandangan dan berkongsi pengalaman, dan menggunakannya bagi memperbaiki kelemahan yang ada.

“Kita dalam beberapa minggu ini akan mulakan dengan retreat (pemukimam) Jemaah Menteri, dan retreat itu bukan biasa untuk mencatat (bahawa) ini kejayaan masing-masing.

“(Pemukiman ini) untuk menyatakan bahawa ada ruang yang harus diperbaiki, ada kelemahan yang harus dibetulkan dan ada tahap kesungguhan yang harus kita tingkatkan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button