
PM arah KPT, UMS tidak ambil tindakan disiplin terhadap pelajar bakar karikaturnya
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) supaya tidak mengambil tindakan disiplin terhadap pelajar yang terlibat dalam insiden membakar karikaturnya, baru-baru ini.
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, ini selaras dengan pendekatan MADANI yang mengutamakan nilai ihsan.
“Perdana Menteri mahu pelajar yang terlibat tidak disekat perjalanan akademiknya.
“Ini kerana bagi beliau, masa depan anak muda tidak harus terkorban dalam arus perbezaan pandangan,” kata Tengku Nahsrul ketika menyampaikan Taklimat PMO, hari ini.
Menurut Tunku Nashrul, sebagai bekas aktivis mahasiswa dan seorang reformis, Perdana Menteri akan sentiasa mempertahankan kebebasan bersuara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.
“Perdana Menteri sendiri muncul daripada gerakan mahasiswa dan pernah memimpin gerakan reformasi di jalanan, maka beliau benar-benar memahami suara itu.
“Beliau sendiri saksi bahawa kritikan, walau sepedas mana, adalah sebahagian penting dalam meraikan demokrasi,” katanya.
Berkenaan insiden pembakaran karikatur itu, Tunku Nashrul berkata, ia mengingatkan kita betapa besar harapan rakyat supaya gejala rasuah dibanteras sampai ke akar umbi.
Tambah beliau, Perdana Menteri turut menitip pesan bahawa semangat perubahan bermula dengan keberanian anak muda menyuarakan kebenaran berlandaskan fakta dan niat yang tulus.
“Di pihak kerajaan, komitmen reformasi kekal teguh, sedang dan telah diterjemahkan ke dalam tindakan nyata.
“Komitmen reformasi ini tidak akan terhenti setakat ini, dan ia akan terus diperhalusi dan dilaksanakan dengan berstruktur,” katanya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |