
PM arah isu dadah, vape libatkan anak muda diselesaikan segera
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menggesa isu penyalahgunaan dadah dan penggunaan vape dalam kalangan anak muda diselesaikan segera menerusi perbincangan dan tindakan tegas pelbagai pihak.
Anwar menegaskan, masalah yang sudah berlarutan sejak puluhan tahun itu perlu ditangani dengan pendekatan lebih menyeluruh, termasuk kaunseling dan pendekatan dakwah yang berkesan.
“Saya minta isu dadah dan vape ini dibincang segera, cari jalan penyelesaian.
“Kalau perlu kaunseling, perlu dakwah, lakukan. Ini dah berlarutan berpuluh tahun, belum selesai.
“Betul, ada juga anak Cina dan India terlibat, tapi yang lebih parah adalah anak-anak Melayu. Ia membunuh jiwa mereka dari kecil. Kena lakukan sesuatu, kena bincang,” katanya dalam ucapan ketika merasmikan Majlis Seminar Malaysia Madani: Guru Pemangkin Patriotisme Negara, di sini.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, mesyuarat Kabinet turut menyentuh isu berkenaan dan menyeru agar semua kementerian dan agensi berkaitan berganding bahu mencari penyelesaian yang komprehensif demi masa depan generasi muda.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia, Datuk Roslan Hussin; Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Fadlun Mak Ujud dan Presiden Persatuan Pesara Pegawai Pendidikan Malaysia, Datuk Jemale Paiman.
Sementara itu, Menteri Komunikasi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil sebelum ini memaklumkan kerajaan memandang serius penjualan produk terlarang secara dalam talian, termasuk cecair vape yang dicampur dengan bahan terlarang seperti dadah.
Menurutnya, satu mesyuarat khas bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali akan diadakan dalam masa terdekat bagi memperincikan tindakan penguatkuasaan ke atas platform serta peniaga yang melanggar peraturan.
Dalam pada itu, Presiden Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC), Dr. M. Murallitharan semalam turut menggesa kerajaan supaya bertindak lebih tegas terhadap penjualan vape tidak terkawal dengan mencadangkan penggantungan lesen, pendakwaan di mahkamah serta pengenaan denda maksimum ke atas peniaga yang melanggar Akta Kawalan Produk Merokok Untuk Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |