
PM Anwar ulangi tekad selesaikan isu GISBH
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tidak akan berkompromi berhubung isu membabitkan GISB Holding Sdn Bhd (GISBH).
Perdana Menteri mengulangi tekadnya untuk menyelesaikan isu terkait organisasi itu yang didakwa melakukan pelbagai kesalahan jenayah.
“Saya bertekad bahawa saya tidak akan berkompromi. Kalau itu kena kompromi, tidak ada makna saya jadi Perdana Menteri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Forum Ilmuan Malaysia Madani (FIM) anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Hotel Grand Hyatt Kuala Lumpur, malam tadi.
Hadir sama, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Menteri Sumber Manusia, Steven Sim serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa.
Pada 10 September lalu, polis berjaya menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja berusia antara satu hingga 17 tahun yang dipercayai dieksploitasi di 20 rumah kebajikan dikaitkan syarikat itu di Selangor dan Negeri Sembilan dalam Op Global.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain sebelum ini memaklumkan ujian saringan kesihatan terhadap 392 kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah amal GISBH dalam Op Global itu mendapati mereka mengalami penderaan fizikal dan emosi serta eksploitasi buruh, termasuk dipaksa bekerja menjual barang.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, FIM merupakan inisiatif yang diilhamkan oleh beliau sebagai platform menghimpunkan ahli akademik, tokoh industri dan pemimpin masyarakat pelbagai latar belakang bagi membincangkan pelbagai isu yang dihadapi rakyat.
Sementara itu, Anwar yang juga Kementerian Kewangan mengumumkan FIM akan dijalankan secara berkala dengan kerjasama pelbagai Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).
“Forum ini inshaAllah akan diadakan secara berkala, bulanan dengan kerjasama lima lagi GLC sebagai permulaan iaitu PETRONAS, Digicelcom, Maybank, Khazanah Nasional dan Perodua yang masing-masing dengan topik berkaitan Ekonomi,” kata Anwar dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Dalam pada itu, Anwar turut menyatakan bahawa kerajaan menggalakkan anak muda dalam
kalangan hufaz untuk menguasai bidang-bidang kritikal dalam negara.
“Sebagai contoh, kita ada ramai anak muda di kalangan hufaz, namun ia tidak harus terhenti di aspek pengahafalan semata.
“Malah, Kerajaan harus menggalakkan mereka untuk berusaha menguasai bidang-bidang lain yang kritikal dan mendesak sebagai memaknai kerangka besar Kerajaan mengenai penyerapan pelajar-pelajar maahad tahfiz ke dalam TVET.
“Justeru, di sini kerajaan akan dapat melonjak prospek masa depan anak-anak tahfiz dan juga sedikit sebanyak, buat masa sekarang, membantu mereka mendapat kadar upah yang lebih baik,” ujar Anwar lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |