
PM Anwar tekankan kepentingan AI, minta KPT selaras pengajian di IPT
SHAH ALAM – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) diminta untuk menyelaraskan pengajian berkaitan bidang teknologi kecerdasan buatan (AI) di semua universiti seluruh negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata penguasaan AI dalam kalangan pelajar pada masa ini amat penting, lebih-lebih lagi ketika negara sedang berdepan kekurangan tenaga kerja dalam bidang kejuruteraan.
Jelas Anwar yang juga Menteri Kewangan, usaha memperkasa penguasaan AI boleh digerakkan sama ada oleh universiti awam mahupun swasta.
“Saya percaya AI penting dan bidang ini perlu diberikan keutamaan. Saya ada minta, umpamanya KPT untuk menyelaraskan kegiatan ini.
“Satu perubahan yang berlaku sekarang ialah kesediaan kita untuk memilih dan mendapat sumbangan itu adalah tidak terikat.
“Kalau untuk pendidikan dan kajian, ia tidak terikat untuk universiti awam. Sebaliknya jika ada keupayaan istimewa, sama ada swasta atau awam, kerjasama itu harus dirangkul dalam satu kekuatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Temu Anwar di Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), di sini, semalam.
Dalam pembentangan Belanjawan 2025, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan sebanyak RM50 juta bagi meluaskan pendidikan berkaitan AI.
Hingga kini, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menubuhkan Fakulti Kecerdasan Buatan Pertama Negara, sekali gus membuktikan institusi pendidikan negara kini berada di landasan tepat.
Selain itu, Anwar turut mencadangkan supaya negara memberi tumpuan kepada aspek AI dengan menyerapkannya ke dalam semua sistem, selain
menggalakkan pelajar terbabit dalam pembangunan teknologi itu.
“Anak-anak kita harus mempunyai keupayaan untuk memasukkan ilmu (AI) atau aplikasi yang ada nilai kita,” katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |