PM Anwar mahu juruaudit ASEAN tekankan tadbir urus beretika dalam laksana tanggungjawab
PUTRAJAYA – Juruaudit, akauntan dan pengawal selia di seluruh ASEAN digesa supaya memperkukuh komitmen terhadap tadbir urus beretika dan ketelusan moral dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.
Berucap pada Persidangan Juruaudit ASEAN 2025, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, akauntabiliti adalah teras kepada tadbir urus yang baik dan perlu dijadikan asas dalam setiap urus tadbir negara dan rantau ini.
“Kita sering bercakap mengenai keterangkuman dan kelestarian. Namun, jika kita teliti Wawasan Komuniti ASEAN 2045, terasnya adalah akauntabiliti dan tadbir urus yang baik. Ini mencerminkan suara majoriti rakyat kita.
“Siapa yang mahu tinggal dalam negara yang sarat dengan ketirisan, rasuah dan pembaziran? Oleh itu, saya memberi sokongan penuh kepada Institusi Audit ASEAN untuk merealisasikan visi ini,” katanya.
Baca juga : PM tegaskan tidak campur tangan dalam LKAN
Beliau berkata demikian sebelum merasmikan majlis penutupan Persidangan Juruaudit ASEAN 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Persidangan bertemakan Audit Inklusif dan Lestari untuk ASEAN Progresif itu menghimpunkan lebih 2,000 peserta dari sektor awam dan swasta, termasuk delegasi serantau dan antarabangsa.
Hadir sama, ketua institusi audit tertinggi dari negara anggota ASEAN seperti Brunei, Filipina, Kemboja dan Laos, serta wakil dari Maldives dan Yaman.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan komitmen Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025, dan peranan Ketua Audit Negara Malaysia yang dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Audit ASEAN dalam menerajui agenda audit serantau.
Beliau menekankan pentingnya institusi audit bertindak secara bebas dan bertanggungjawab dalam menghadapi cabaran peringkat nasional dan serantau.
“Kita kini mengambil langkah lebih lanjut untuk memperkukuh piawaian ketelusan dan akauntabiliti yang tertinggi, di samping menambah baik kerangka anti-rasuah melalui kebebasan juruaudit dan pengawal selia,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








