BERITA SEMASAPMX

PM Anwar diberi sambutan rasmi di India

NEW DELHI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, diberi sambutan rasmi oleh rakan sejawat, Narendra Modi di kediaman rasmi Presiden India, Rashtrapati Bhavan, di sini pagi tadi.

Anwar yang berada di sini dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke India atas jemputan Modi, tiba di New Delhi, semalam.

Turut sama mengiringi Perdana Menteri dalam lawatan ini adalah Menteri Sumber Manusia, Steven Sim; Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian, Datuk Seri Tiong King Sing; Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Digital, Gobind Singh; dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Anwar kemudiannya diberikan penghormatan untuk meletakkan kalungan bunga di tugu Peringatan Gandhi, bapa kemerdekaan India, di Kompleks Peringatan Raj Ghat, disusuli dengan kunjungan hormat Menteri Hal Ehwal Luar India, S Jaishankar.

Perdana Menteri kemudian mengadakan perjumpaan tertutup dengan rakan sejawatnya, Narendra Modi, disusuli perjumpaan empat mata membabitkan dua pemimpin itu, di kediaman rasmi Perdana Menteri India, Hyderabad House.

Ini diikuti majlis menandatangani dan pertukaran lapan memorandum persefahaman (MoU) dan penyerahan laporan Forum CEO Kedua India-Malaysia, di Dewan Khailash, juga di Hyderabad House.

Perdana Menteri kemudian diraikan pada majlis jamuan makan tengah hari dihoskan Modi dan selepas itu mengadakan pertemuan dengan Presiden India, Droupadi Murmu, di Rashtrapati Bhavan.

Perdana Menteri turut dijadualkan menyampaikan Syarahan Ke-50 Sapru House bertajuk ‘Ke arah Pembangunan Global Selatan, Memanfaatkan Hubungan Malaysia-India’ pada acara anjuran Majlis Hal Ehwal Dunia India.

Lawatan rasmi hari kedua diakhiri dengan majlis ramah mesra bersama rakyat Malaysia di Suruhanjaya Tinggi Malaysia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button