
PM Anwar bidas pihak pertikai usaha kerajaan bantu pembangunan Gaza
IPOH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas segelintir pihak yang mempertikai usaha Kerajaan Malaysia dalam membantu pembangunan semula Gaza.
Menurut Perdana Menteri, terdapat beberapa pihak termasuk bekas pemimpin negara yang memberi kenyataan berbaur sinis terhadap usaha murni kerajaan itu.
“Ada yang kata tak cukup, satu pihak ini dia kata kita main-main, projek ini jumlahnya ratus juta.
“Ada pula golongan yang kononnya cerdik, pemimpin-pemimpin lama dulu ada seorang dia kata sekolah kita pun tak selesai, nak tolong orang lain.
“Ini perasaan hati manusia bagaimana? Kita tolong orang kampung lain, orang boleh kata kampung kamu pun belum selesai, tapi dalam Islam dia tidak pernah fikir begitu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucapa pada majlis kenduri rakyat di pekarangan Masjid Al-Muttaqin, Taman Meru di sini, hari ini.
Terdahulu, menerusi Projek Bandar Wakaf, Malaysia akan membina masing-masing sebuah sekolah, hospital dan masjid di Gaza bagi membantu meringankan penderitaan yang ditanggung penduduk di sana.
Anwar berkata, Kerajaan Malaysia dan Jepun juga sepakat membina semula Gaza menerusi inisiatif Kerjasama antara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD).
Semalam, bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz, dilaporkan menggesa pemimpin negara memberi keutamaan kepada keperluan rakyat, sebelum memulakan rancangan membangunkan semula Gaza yang musnah akibat serangan rejim Zionis.
Rafidah dilaporkan berkata, perhatian perlu diberikan kepada negara terutamanya kepada keadaan yang menyedihkan seperti masalah di sekolah dan hospital kerajaan luar bandar serta tempat ibadat.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun menegaskan bahawa Malaysia harus memulakan langkah perubahan untuk membantu meringankan beban rakyat di Gaza.
“Kesengsaraan yang dihadapi oleh umat Islam Gaza, Palestin ini jarang berlaku dalam hidup kita.
“Sejak Perang Dunia Kedua sampai sekarang, inilah malapetaka paling dahsyat yang menimpa umat Islam dan umat manusia. Hancur lebur negerinya, dihina terus, tidak diberi pengiktirafan sama sekali.
“Anak kecil, wanita dan sekolah habis dimusnahkan dan bila kita nak tolong sedikit apa jawapan mereka? mahu selesaikan masalah.
“Saudara, sampai kiamat pun ada masalah dalam negara tidak mungkin selesai, ada sahaja yang kurang-kurangnya, tetapi kita lakukan sedikit untuk bantu pembangunan Gaza,” kata Anwar yang juga Menteri Kewangan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |