
PM Anwar bidas dakwaan RUU Pembaharuan Semula Bandar ancam kedudukan Melayu
SHAH ALAM – Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) akan mengancam kedudukan orang Melayu di bandar.
Perdana Menteri sebaliknya menegaskan bahawa langkah yang diambil oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu adalah bagi memastikan kesejahteraan semua anggota masyarakat di bandar terjamin.
“Jadi sekarang 80 peratus (pemilik menyatakan persetujuan) dan yang baki 20 peratus itu bukan kita nafikan kita bagi rumah dulu satu bilik sekarang tiga bilik, dulu satu bilik mandi sekarang dua bilik mandi itu syaratnya.
“Kalau dulu Tanah Rizab Melayu sekarang kekal Rizab Melayu ia kekal tak berubah. Jadi (kenapa) ada yang nak bantah Melayu sekarang terancam orang Melayu habis tanah-tanah, apa punya politik ini?,” soalnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri Bersama Pemimpin Tempatan Negeri Selangor yang turut dihadiri Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari di sini hari ini.
Terdahulu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming sebelum ini dilaporkan berkata, kementeriannya dijangka membentangkan RUU Pembaharuan Semula Bandar pada sesi Parlimen Julai ini.
Beliau berkata, RUU itu ketika ini dalam proses semakan oleh Jabatan Peguam Negara sebelum dibentangkan kepada Mesyuarat Jemaah Menteri.
Kor Ming berkata, RUU itu menekankan prinsip-prinsip yang telah digariskan terutamanya dalam memastikan tiada pihak yang akan tertindas dalam proses pembaharuan semula bandar.
Ia juga mengandungi peruntukan khas bagi melindungi hak dan kepentingan pemilik untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan hak pemilikan, serta proses dan prosedur pembaharuan semula bandar.
Selain itu, RUU berkenaan turut menyediakan Pelan Kontigensi Pembaharuan Semula Bandar bagi mengatasi masalah-masalah sekiranya suatu projek pembaharuan semula bandar itu tidak berjaya bagi menjaga hak dan kepentingan pelbagai pihak yang terlibat dengan pembaharuan semula bandar.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |