BERITA SEMASADALAM NEGERI

PLKN 3.0 : 444 wiramuda tamat latihan, jadi saluran pencarian bakat baharu negara

KUALA LUMPUR – Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) terus membuktikan keberkesanan sebagai saluran strategik dalam penilaian dan pencarian bakat baharu generasi muda negara.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, selain menjadi platform membina jatidiri dan semangat kenegaraan, Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) turut bertanggungjawab menganalisa potensi bakat dan minat dalam kalangan peserta.

“Hari ini seramai 444 wiramuda berjaya tamatkan latihan intensif PLKN 3.0 selama 45 hari yang bermula pada 11 Mei lalu di dua kem di Kuantan dan Kuala Lumpur.

“Melalui program ini, kami berjaya mengenal pasti kecenderungan golongan belia terhadap kerjaya masa depan, termasuk dalam sektor keselamatan dan pertahanan negara.

“Kami juga ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada ibu bapa yang memberikan sokongan kepada semua pelatih untuk mereka menamatkan latihan,” katanya.

Adly Zahari bercakap kepada media selepas merasmikan Perbarisan Tamat Latihan PLKN 3.0 Siri 2 Tahun 2025 di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah (AW) di ibu negara, hari ini.

Adly berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perbarisan Tamat Latihan PLKN 3.0 Siri 2 Tahun 2025 di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah (AW) di ibu negara, hari ini.

Majlis turut dihadiri Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN), Jeneral (B) Tan Sri Dr. Abdul Aziz Zainal.

Seramai 444 pelatih terdiri daripada 257 pelatih lelaki dan 187 pelatih wanita menamatkan latihan program yang diadakan di Kem Rejimen 505 Askar Wataniah (Kem Force 136) di Pekan, Pahang dan Kem Rejimen 515 (AW) di sini.

Beliau berkata, daripada analisa yang dijalankan, pihaknya mendapati seramai 132 daripada 187 pelatih (70.6 peratus) menyatakan minat untuk melanjutkan pelajaran.

“Seramai 43 pelatih memilih untuk terus bekerja, manakala 12 pelatih menyatakan hasrat menyambung pengajian dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET)

“14 pelatih pula menunjukkan minat menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM), 20 pelatih cenderung menyertai perkhidmatan keselamatan awam lain, manakala selebihnya berminat dalam bidang perguruan, keusahawanan dan lain-lain,” katanya.

Tambah Adly, para pelatih turut diberi pendedahan berkaitan keselamatan siber sebagai langkah memperkasa pertahanan kendiri dalam dunia digital yang penuh cabaran masa kini.

Sebagai pengiktirafan kepada kecemerlangan peserta, dua pelatih menerima Anugerah Pelatih Terbaik iaitu Bartholomew Thierry Timothy dari Kem 505 dan Nurul Alleeysa Balqis Abdullah dari Kem 515.

Anugerah itu diberikan atas prestasi luar biasa dalam modul asas ketenteraan dan kenegaraan. Kedua-duanya telah dinobatkan sebagai anggota Angkatan Khidmat Negara (AKN).

Sementara itu, Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) dan JLKN dalam kenyataan bersama merakamkan penghargaan kepada semua pelatih atas kejayaan menamatkan latihan dengan penuh semangat juang dan disiplin tinggi.

Sehubungan itu, JLKN menyeru lebih ramai belia tampil menyahut cabaran menyertai PLKN 3.0 Siri 3/2025 yang dijadualkan berlangsung dari September hingga Oktober ini.

Senarai peserta boleh disemak melalui laman sesawang rasmi PLKN di pautan: https://plkn.mod.gov.my/pelatih/semakan/form

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button