PKS digesa manfaat platform EWA, bantu pekerja tangani kos sara hidup
KUALA LUMPUR— Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) disaran menilai pelaksanaan sistem Earned Wage Access (EWA) sebagai langkah sistematik membantu pekerja berpendapatan rendah menangani tekanan kos sara hidup, selain memperkukuh produktiviti dan daya saing organisasi.
Presiden Persatuan ESG Malaysia, Cheah Kok Hoong berkata, konsep EWA memberi fleksibiliti kepada pekerja untuk mengakses sebahagian gaji yang diperoleh sebelum tarikh gajian, sekali gus memudahkan pengurusan keperluan tunai harian.
“Pembayaran gaji tepat pada waktunya adalah faktor kritikal bagi memastikan motivasi dan komitmen pekerja sentiasa berada pada tahap optimum.
“Jika PKS menghadapi isu aliran tunai hingga menjejaskan pembayaran gaji, ia akan menurunkan keupayaan pekerja untuk menyumbang secara produktif, mewujudkan kitaran operasi yang tidak sihat,” katanya pada sidang media Setlary, penyedia platform EWA.
Cheah menegaskan bahawa EWA selari dengan komponen sosial dalam kerangka ESG, khususnya aspek kesejahteraan dan keselamatan pekerja iaitu elemen yang masih kurang diberi perhatian dalam sebahagian sektor.
Beliau berkata inisiatif seperti EWA wajar diperluaskan memandangkan PKS menyumbang sekitar 38 peratus kepada KDNK dan merupakan pemacu penting pertumbuhan ekonomi negara.
Dalam perkembangan berkaitan, Setlary mengumumkan penerimaan pelaburan strategik bernilai RM100 juta daripada Lion X dan Holborn Capital Partners.
Dana itu akan digunakan untuk mempercepatkan pengembangan rangkaian Setlary ke pasaran Asia, di samping meningkatkan fungsi platform kesejahteraan kewangan yang ditawarkan.
Pengasas Bersama Setlary, Charles Chew berkata, platform tersebut menawarkan penyelesaian praktikal dan tanpa kos kepada majikan untuk meningkatkan kesejahteraan kewangan pekerja, termasuk meningkatkan kadar pengekalan dan memudahkan proses pengambilan bakat baharu.
“Pelaburan ini membolehkan lebih ramai pekerja mengakses pendapatan yang telah diperoleh lebih awal serta menikmati program Kesejahteraan Setlary yang menyokong kestabilan kewangan jangka panjang.
Chew menambah, EWA berfungsi sebagai langkah pencegahan bagi pekerja B40 daripada terjebak dengan pinjaman bertaedah tinggi seperti Ah Long, selain menyediakan akses kepada pelbagai manfaat kebajikan.
Antara program sosial yang ditawarkan termasuk bantuan barangan keperluan bulanan serta perlindungan insurans percuma bagi pekerja yang tidak mempunyai akses kewangan formal.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








