BERITA SEMASADALAM NEGERI

PKR tegas ambil tindakan terhadap AJK ugut letak jawatan

KEPALA BATAS — Parti Keadilan Rakyat (PKR) memberi amaran akan mengambil tindakan disiplin termasuk menyenarai hitam ahli jawatankuasa (AJK) bahagian yang mengugut untuk meletakkan jawatan berikutan ketidakpuasan hati terhadap keputusan pemilihan parti baru-baru ini.

Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil berkata, tindakan sedemikian bukan sahaja menjejaskan kestabilan organisasi parti tetapi juga berisiko menggugat kelancaran perjalanan Kongres Nasional yang dijadual berlangsung hujung bulan ini.

“Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Fuziah Salleh, menegaskan mana-mana AJK bahagian yang mengambil tindakan meletakkan jawatan untuk menggugat keputusan pemilihan berisiko disenarai hitam dan diharamkan bertanding dalam pemilihan semula,” katanya memetik Bernama.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri program Jelajah Kita Keadilan di Dewan Tok Mat Yahoo, malam tadi.

Fahmi menjelaskan beberapa AJK bahagian dari Lenggong dan Masjid Tanah yang sebelumnya mengancam meletakkan jawatan, telah menarik balik niat tersebut selepas berhubung dengan pimpinan pusat.

“Kami telah mengadakan dialog dengan AJK berkenaan dan mereka membatalkan keputusan meletakkan jawatan. Ini menunjukkan komitmen mereka untuk terus bersama parti.

“Proses pemilihan ini berjalan dengan lancar dan profesional. Tiada kejadian yang menjejaskan reputasi parti. Ini membuktikan kematangan semua pihak dalam menghadapi demokrasi dalaman,” tambahnya.

Fahmi mengesahkan persiapan Kongres Nasional PKR yang dijadualkan berlangsung pada 21 hingga 25 Mei di Johor Bahru, persiapan berjalan dengan baik.

Beliau juga memaklumkan program jelajah yang diadakan pejabat Setiausaha Agung bersama Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) menerima respon yang positif daripada ahli parti.

“Jelajah ini adalah inisiatif penting bagi memastikan semua anggota parti memahami proses pemilihan yang adil dan telus.

“Sistem pemilihan turut menampilkan calon dengan gambar latar belakang biru muda, menandakan tiada unsur kumpulan atau fraksi dalam pertandingan,” jelasnya.

Tambah beliau, pihak pengurusan pemilihan melarang kempen secara berkelompok dan penyebaran ‘cai’ pada hari pengundian bagi menjaga integriti proses demokrasi parti.

“Kita mahu memastikan pemilihan ini benar-benar berlangsung secara profesional dan beretika demi memartabatkan prinsip demokrasi dalam keluarga besar Keadilan,” kata Fahmi.

Kongres Nasional PKR, melibatkan Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita, dijadual berlangsung dari 21 hingga 24 Mei dengan hari pengundian pada 23 Mei.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button