
PKR sahkan undian semula tiga cabang sebelum Kongres Nasional
PUTRAJAYA – Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR mengesahkan pengundian semula akan diadakan di tiga cabang iaitu Selayang, Jempol dan Silam susulan beberapa isu teknikal yang dikesan dalam pemilihan baru-baru ini.
Pengarah JPP PKR, Dr Zaliha Mustafa berkata, undian semula hanya membabitkan keputusan kecil dan tidak melibatkan keseluruhan proses pemilihan.
“Nanti saya akan keluarkan notis dalaman kepada cabang-cabang yang terlibat,” katanya kepada pemberita semasa Majlis Sambutan Aidilfitri Wilayah Persekutuan di sini hari ini.
Pemilihan parti peringkat cabang baru-baru ini melibatkan pemilihan kepimpinan utama cabang serta jawatan sayap Angkatan Muda dan Wanita bagi penggal 2025-2028.
Zaliha berkata, bilangan aduan pada kali ini jauh lebih rendah berbanding pemilihan terdahulu.
“Dulu sampai ribuan, sekarang hanya beberapa ratus sahaja. Aduan itu datang dari pelbagai peringkat – semasa pencalonan, kempen dan keputusan.
“Kita akan teliti satu-persatu. Sebahagian besar sudah kita ambil tindakan dan kita akan perhalusi aduan rasmi yang diterima JPP,” katanya lagi.
Beliau turut berkata, jawatankuasa yang menyemak aduan dan bantahan masih belum membuat sebarang keputusan muktamad berhubung kes-kes yang diterima.
Katanya, antara aduan yang masih dalam pertimbangan termasuk membabitkan tokoh berprofil tinggi parti, iaitu Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Nasir.
Dalam pemilihan lalu, Nik Nazmi tewas kepada selebriti Afdlin Shauki bagi jawatan Ketua Cabang Setiawangsa, manakala Akmal Nasrullah tewas kepada Ketua Pemuda PKR Johor, Taufiq Ismail bagi jawatan Ketua Cabang Johor Bahru.
Kongres Nasional PKR dijadual berlangsung pada bulan depan dan dijangka memberi ruang kepada penyelesaian semua aduan sebelum kepimpinan baharu disahkan secara rasmi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |