BERITA SEMASADALAM NEGERI

PKNS salur RM1 juta kepada Tabung Selangor Prihatin

SHAH ALAM – Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) hari ini menzahirkan keprihatinan terhadap mangsa kebakaran saluran paip gas di Putra Heights dengan menyumbangkan dana sebanyak RM1 juta kepada Tabung Selangor Prihatin.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS, Datuk Mahmud Abbas kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam Majlis Jalinan Aidilfitri PKNS yang berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC).

Turut hadir menyaksikan penyampaian itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin dan Pegawai Kewangan Negeri Selangor, Datuk Dr. Haniff Zainal Abidin.

Menurut Datuk Mahmud, sumbangan itu merupakan komitmen PKNS dalam membantu mempercepatkan proses pemulihan serta pembinaan semula kawasan yang terjejas, selain meringankan beban keluarga yang kehilangan tempat tinggal dan harta benda.

“Sebagai agensi pembangunan negeri yang bertanggungjawab terhadap kesejahteraan rakyat, PKNS mengambil inisiatif ini bagi menyokong usaha Kerajaan Negeri Selangor serta semua agensi berkaitan dalam menyalurkan bantuan kepada mangsa yang memerlukan,” ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Bantuan yang disalurkan meliputi keperluan asas, kerja-kerja pembersihan kawasan, pembinaan semula kediaman serta pemulihan kemudahan awam yang rosak akibat kejadian tersebut.

Dalam masa yang sama, Datuk Mahmud turut merakamkan penghargaan kepada agensi penyelamat, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan para sukarelawan yang telah bertungkus-lumus memastikan keselamatan awam sepanjang dan selepas insiden berlaku.

Majlis Jalinan Aidilfitri PKNS tahun ini turut menghimpunkan lebih 3,000 tetamu yang terdiri daripada pelbagai sektor termasuk hartanah, perbankan, agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan serta wakil media.

Majlis itu juga berperanan sebagai platform memperkukuh hubungan strategik antara PKNS dan rakan-rakan industri serta pihak berkepentingan.

PKNS turut menyeru penyertaan lebih banyak pihak termasuk syarikat swasta, individu, serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk bersama-sama menyalurkan sumbangan kepada Tabung Selangor Prihatin, bagi memperluas bantuan kepada lebih ramai mangsa yang terkesan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button