
Pimpinan penjawat awam tidak boleh terus dipinggir -PM
PUTRAJAYA – Kerajaan bertekad untuk mengembalikan kegemilangan dan kekuatan perkhidmatan awam khususnya dalam mengemudi tanggungjawab dan tugasan besar yang selama ini ‘terpinggir’ akibat campur tangan politik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kepercayaan kepada barisan pimpinan penjawat awam harus diberikan semula termasuk dalam projek-projek raksasa, ekonomi dan seumpamanya seperti suatu ketika dahulu.
“Dampak campur tangan politik yang melampau dan keterlaluan dalam urusan pentadbiran dan dasar awam telah meminggirkan penjawat awam, dan memusatkan perhatian kepada konsultan luar dengan kos jutaan ringgit.
“Tekad Kerajaan MADANI adalah untuk mengangkat semula darjat dan martabat penjawat awam menerusi reformasi dan anjakan paradigma yang menuntut dukungan penuh daripada segenap lapisan perkhidmatan awam,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam hantaran Facebook sempena majlis Malam Sumbangan Kasih bersama Persatuan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik (Alumni PTD) bersama-sama Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam malam tadi.
Anwar berkata, ‘reformasi’ itu akan dilaksanakan melalui kajian menyeluruh terhadap sistem perkhidmatan awam yang terabai akibat sepak terajang politik sejak beberapa tahun kebelakangan lalu.
Katanya, selain soal gaji, elaun dan saraan, anjakan yang akan dilakukan kerajaan termasuk menambah baik keupayaan, mutu, profesionalisme dan integriti penjawat awam.
“Pastinya hasrat ini hanya mampu terlaksana dengan kestabilan dan tekad politik yang jitu.
“Saya turut nyatakan harapan semoga usaha ini dapat menyingkirkan kelemahan dalam perkhidmatan awam yakni tatakelola yang mulai luntur, rasuah menular menjadi sistemik,” katanya.
Pada majlis itu, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM500,000 kepada Yayasan Alumni PTD sebagai menghargai pengorbanan dan khidmat bakti kumpulan PTD terutama yang telah bersara.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |