Pihak berkuasa tawar RM10,000 jejak dalang pembunuhan gajah Pygmy Borneo
KOTA KINABALU – Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) menawarkan ganjaran RM10,000 kepada individu yang tampil memberi maklumat berhubung kes penemuan bangkai seekor gajah pygmy Borneo tanpa kepala baru-baru ini.
Menterinya, Datuk Seri Christina Liew berkata, ganjaran itu diumumkan susulan penemuan bangkai gajah di kawasan hutan Tibow, Kalabakan, baru-baru ini,
Penemuan itu merupakan kes yang ketiga sejak Januari tahun ini.
“Kita amat memerlukan maklumat yang boleh membawa kepada penangkapan, pendakwaan dan sabitan terhadap pihak yang bertanggungjawab membunuh haiwan dilindungi ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu diharap dapat menyalurkan maklumat kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS) atau pihak polis.
“Ini bukan sekadar jenayah terhadap haiwan, tetapi satu tindakan kejam yang mengancam populasi gajah Pygmy yang kini dianggarkan hanya tinggal antara 1,500 hingga 2,000 ekor di Sabah.
“Kerjasama orang ramai amat penting bagi membanteras perbuatan tidak berperikemanusiaan ini,” katanya.
Sementara itu, Pengarah JHLS, Mohd Soffian Abu Bakar mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai bangkai gajah terbabit minggu lalu dan telah melaksanakan operasi bersama pihak berkuasa lain.
“Antara tindakan yang telah dan sedang diambil termasuklah sekatan jalan raya di lokasi strategik bagi mengesan pelaku jenayah,” katanya.
Gajah pygmy Borneo merupakan spesies yang dilindungi sepenuhnya di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar Sabah 1997.
Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda besar dan hukuman penjara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








