
Piala Asia bukan penamat segala-galanya – pesan Hannah Yeoh kepada Harimau Malaya
KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berharap pasukan Harimau Malaya dapat memberikan persembahan terbaik ketika menentang pasukan Korea Selatan pada Khamis ini meskipun peluang untuk ke pusingan berikutnya telah tertutup.
Beliau berkata, ini kerana pendedahan yang diperoleh di pentas Piala Asia menentang pasukan yang jauh lebih hebat merupakan satu pengalaman yang tidak ternilai.
Pada masa sama, katanya, perjuangan Malaysia tidak terhenti dalam Piala Asia sahaja kerana selepas ini pelbagai kejohanan terutamanya kelayakan Piala Dunia pusingan akhir peringkat Asia sedang menanti.
“Menentang Korea minggu ini pastinya akan membantu para pemain kita memperolehi pengalaman yang tidak ternilai. Setiap perlawanan, peminat hanya mahu melihat para pemain kita memberikan yang terbaik.
“Piala Asia bukanlah penamat segala-galanya. Ini kerana masih banyak lagi yang perlu ditempuhi bermula Mac depan, termasuk Piala Asia seterusnya dan kelayakan Piala Dunia pusingan akhir peringkat Asia.
“Malaysia mesti berusaha untuk memastikan kelayakan melalui merit selepas 42 tahun, bukanlah satu keajaiban. Kita mesti menjadikannya sebagai suatu kemestian dalam setiap Piala Asia,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Konfederasi Bola Sepak Asia atas layanan yang baik kepadanya sepanjang berada di Qatar.
“Terima kasih khas buat Ultras Malaya kerana telah menunjukkan kepada saya, betapa mereka adalah penyokong setia berkelas dunia tidak kira menang atau kalah, mereka kekal melaungkan sorakan dan menyanyikan lagu Negaraku dengan penuh rasa bangga.
“Mereka menabung dan menanggung kos sendiri (ada sesetengahnya perlu melalui transit yang sangat lama), namun kekal setia di sisi pasukan kebangsaan walaupun sebelum pasukan kita layak ke pusingan ini lagi,” katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |