BERITA SEMASADALAM NEGERI

PHM minta orang ramai buat laporan peniaga cairkan plastik dalam kuali

KUALA LUMPUR – Orang ramai digesa tampil membuat laporan kepada Pejabat Kesihatan Daerah sekiranya mengesan mana-mana peniaga yang mencelup plastik pembungkus minyak terus ke dalam kuali gorengan.

Gesaan itu disuarakan pengendali laman sosial Public Health Malaysia (PHM) susulan satu perkongsian tular melibatkan peniaga yang didakwa berbuat demikian bagi memudahkan proses memasak.

Dalam satu kenyataan, PHM menyifatkan perbuatan itu sebagai pengkhianatan besar kepada pelanggan yang membeli makanan dengan keyakinan ia disediakan secara selamat.

Menurut PHM, tindakan mencelup plastik ke dalam minyak panas bukan sekadar menyebabkan plastik itu cair, sebaliknya mencetuskan tindak balas kimia yang jauh lebih berbahaya.

“Pada suhu tinggi, rantaian polimer dalam plastik akan terurai menjadi molekul kecil seperti alkanes, alkenes, aldehydes dan ketones yang kemudian larut ke dalam minyak sebelum melekat pada makanan.

“Bahan pelunak plastik seperti phthalates dan adipates turut terlepas akibat haba tinggi, sedangkan bahan itu tergolong sebagai “endocrine disruptors” yang boleh mengganggu sistem hormon apabila masuk ke dalam tubuh manusia,” katanya.

PHM berkata, plastik yang terurai tidak hilang sepenuhnya, sebaliknya pecah menjadi serpihan halus atau mikroplastik yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar tetapi boleh masuk ke dalam makanan dan akhirnya terkumpul di usus, darah serta organ manusia.

“Minyak panas yang bercampur plastik turut berpotensi menghasilkan radikal bebas, hidrokarbon aromatik dan bahan toksik lain yang meningkatkan risiko keradangan, penyakit hati dan kesan kesihatan jangka panjang,” katanya.

PHM menegaskan, setiap kali makanan yang tercemar dimakan, tubuh tetap menerima kesannya meskipun ia tidak kelihatan.

Sehubungan itu, orang ramai diminta tidak berkompromi dengan isu keselamatan makanan dan segera menyalurkan maklumat kepada pihak kesihatan bagi membolehkan siasatan serta tindakan diambil terhadap peniaga yang tidak mematuhi amalan kebersihan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button