BERITA SEMASA

Petugas universiti cedera parah ditimpa pokok tumbang

CHUKAI – Seorang petugas wanita sebuah universiti cedera parah di kepala selepas dihempap pokok tumbang di Bukit Kemuning, Kijal, di sini kira-kira jam 9 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang berusia 35 tahun sedang mendaki bukit berkenaan bersama 57 pelajar dan tujuh petugas lain, lapor Bernama.

“Difahamkan mangsa bersama petugas universiti serta pelajar bidang geologi naik ke Bukit Kemuning untuk menjalankan kerja dan kajian lapangan.

“Sewaktu pendakian, mangsa ditimpa pokok besar yang tumbang menyebabkan dia cedera parah di kepala,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Hanyan berkata, mangsa dikejarkan ke Hospital Kemaman oleh ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk rawatan lanjut dan difahamkan kini sedang ditidurkan.

“Keluarga mangsa telah dimaklumkan dan suami mangsa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kemaman,” katanya.

Susulan itu, Hanyan mengingatkan orang ramai supaya tidak menjalankan sebarang aktiviti rekreasi di kawasan Taman Eko Rimba sepanjang musim tengkujuh.

“Kawasan Taman Eko Rimba termasuk laluan pendakian dan aktiviti rekreasi di hutan simpan kekal negeri Terengganu adalah tidak dibenarkan sepanjang musim tengkujuh,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button