BERITA SEMASA

Pesta durian eratkan ukhuwah kejiranan di The Mulia Residences

CYBERJAYA – Pesta durian yang dianjurkan penduduk Fasa Dua The Mulia Residences di sini pada Sabtu lalu bukan sahaja meriah dengan kemanisan raja buah, malah turut menjadi medan penyatuan komuniti pelbagai kaum.

Program anjuran bersama penduduk itu berjaya menghimpunkan lebih 200 orang termasuk ahli keluarga yang mengambil peluang menikmati durian, rambutan dan manggis sambil mengeratkan silaturahim.

Menurut Pengarah Program, Melvin Paul, pesta tersebut memasuki tahun kedua penganjurannya hasil sambutan positif yang diterima tahun lalu.

“Matlamat utama kami adalah untuk mengeratkan hubungan sesama jiran tetangga yang datang daripada pelbagai latar belakang bangsa dan agama. Sambutannya amat menggalakkan,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Beliau berkata, segala persiapan dibuat secara gotong-royong termasuk penyediaan makanan tambahan yang dimasak sendiri oleh penduduk.

“Semangat kebersamaan inilah yang kami mahu pupuk. Penduduk bukan sekadar datang menikmati juadah tetapi turut turun padang membantu menjayakan majlis ini,” ujarnya.

Menariknya, penganjur turut mengambil langkah proaktif dalam menjaga kelestarian alam apabila semua sisa kulit durian dikumpul untuk dikitar semula.

“Sisa buangan itu diserahkan kepada sebuah syarikat tenaga boleh diperbaharui bagi diproses menjadi sumber tenaga baharu. Ini adalah antara usaha kecil kami untuk menyokong inisiatif mesra alam,” tambahnya.

Program tersebut disifatkan sebagai contoh keharmonian kejiranan yang wajar dicontohi dalam membina masyarakat yang bersatu padu dan saling menghormati.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button