BERITA SEMASA

Peserta RXZ Fighter maut, dua parah nahas langgar sesama sendiri di LPT2

KUALA TERENGGANU – Seorang peserta RXZ Fighter maut manakala dua lagi parah dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal Yamaha RXZ yang berlanggar sesama sendiri di Kilometer 430 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), berhampiran Plaza Tol Gemuruh, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.45 pagi itu, mangsa, Mohamad Faizal Adam Azhar, 31, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah, manakala dua rakannya, Muhammad Zarul Asyraf Mukhtar, 26, dan Muhammad Arif Che Mahisan, 29, mengalami kecederaan di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati kesemua mangsa menunggang motosikal dari Kelantan menuju ke Kuantan, Pahang bagi menyertai acara RXZ Fighter.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang Muhammad Arif dilanggar dari arah belakang oleh Mohamad Faizal Adam yang berada di lorong kecemasan, menyebabkan Muhammad Arif hilang kawalan lalu melanggar motosikal Muhammad Zarul Asyraf di hadapannya.

“Ketiga-tiga motosikal terbabit terjatuh dan terseret di atas jalan sebelum motosikal Mohamad Faizal tercampak ke dalam longkang konkrit berhampiran,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut Azli, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk dibedah siasat, manakala dua lagi mangsa turut dihantar ke hospital sama bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Polis turut menasihatkan semua penunggang motosikal agar sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan jalan raya bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button