BERITA SEMASAKEMENTERIAN PERTAHANAN

Pesawat TUDM terbang rendah sempena persaraan Panglima Tentera Udara

KUALA LUMPUR – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini memaklumkan sesi penerbangan taktikal secara rendah melibatkan pesawat pejuang, pengangkut dan helikopter akan dilakukan di sekitar ruang udara Subang bermula hari ini sehingga Khamis.

Menurut kenyataan TUDM, latihan tersebut diadakan sebagai persediaan Perbarisan Persaraan Panglima Tentera Udara (PTU) ke-20, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan, yang dijadual berlangsung pada 26 Jun ini di Pangkalan Udara Subang.

“Orang ramai diminta tidak cemas atau panik sekiranya melihat pesawat terbang rendah sepanjang tempoh latihan kerana ia adalah sebahagian daripada persiapan acara rasmi,” jelas kenyataan itu.

Mohd Asghar Khan yang menyertai TUDM sebagai Pegawai Kadet pada 18 Julai 1983, telah mencurahkan bakti lebih 42 tahun dalam perkhidmatan ketenteraan.

Beliau memulakan kerjaya sebagai juruterbang pesawat pejuang pada 1985 dan berpengalaman mengendalikan pesawat A4 Skyhawk, F-5E, MiG-29N serta Sukhoi 30MKM.

Mohd Asghar dilantik sebagai Panglima Tentera Udara pada 7 Mac 2022, menggantikan Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad yang bersara wajib.

TUDM turut merakamkan penghargaan atas jasa dan komitmen tinggi beliau sepanjang perkhidmatan dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan ruang udara negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button