Pesawat kecil terhempas di San Diego, tiga maut, tujuh cedera
SAN DIEGO — Tiga maut manakala tujuh lagi cedera selepas sebuah pesawat kecil terhempas di kawasan perumahan Murphy Canyon, di sini pada awal pagi semalam.
Kesemua mangsa yang terkorban adalah tiga daripada enam individu dari syarikat agensi bakat muzik, Sound Talent Group yang menaiki pesawat berkenaan.
Berita kematian kakitangan termasuk pengasas agensi berkenaan, Dave Shapiro disahkan oleh syarikat tersebut dalam satu kenyataan.
Media tempatan melaporkan insiden tragik itu berlaku pada pukul 3:45 pagi ketika kawasan tersebut diselubungi kabus tebal.
Menurut laporan BBC News, pesawat jenis Cessna 550 itu dipercayai terhempas selepas menghadapi kesukaran dalam cuaca yang kurang baik.
“Letupan kuat akibat hentaman menyebabkan kebakaran besar yang memusnahkan sebuah rumah dan membakar beberapa buah kereta di sekitarnya,” menurut berita itu.
Penolong Ketua Bomba San Diego, Dan Eddy berkata, serpihan pesawat bertaburan di merata tempat dan kesan tumpahan bahan api turut menyebabkan lapan ekor anjing tempatan terpaksa dibawa ke klinik haiwan untuk dibersihkan.
“Kawasan kejiranan yang terjejas merupakan perumahan tentera. Akibat kebakaran dan serpihan yang berselerakan, lebih 100 penduduk terpaksa dipindahkan sebagai langkah keselamatan.
“Kejadian ini membuktikan semangat komuniti yang erat di sini kerana, mangsa berjaya dikeluarkan oleh jiran-jiran mereka sendiri. Inilah indahnya komuniti ini, tentera yang saling menjaga,” katanya.
Sementara itu, Datuk Bandar San Diego, Todd Gloria turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan mengumumkan kawasan terjejas akan dibuka semula selepas kerja-kerja pembersihan dan siasatan selesai.
“Bagi pihak bandar ini, saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dan orang tersayang mereka yang berada di dalam pesawat itu,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






